Video tahun 2011 (Disember) ini telah lama dimuat naikkan ke laman Youtube tapi barulah sekarang saya terfikir untuk mengkompilasikannya di dalam blog saya supaya mudah dicapai. Pengalaman ini sudah tentu tidak dapat saya lupakan dan sentiasa dikenang dan diulang tayang didalam minda ini. Laluan ini sebenarnya tidak sukar jika dilakukan dengan motorsikal lebih kecil dan ringan. Ini kerana setiap kali kami tekial-kial hendak melintasi sungai, motor-motor cub dengan selambanya memintas kami tanpa teragak-agak. Setiap kali hendak melintas, sayalah yang jadi mangsa turun ke dalam sungai dan memeriksa dasar sungai untuk memastikan kedalaman dan keadaan permukaan dasar sungai. Sangat penat tapi menyeronokkan. Laluan ini adalah laluan alternatif untuk ke sempadan Laos-Thailand. Ianya bukan Imigresen Checkpoint Antarabangsa, maka untuk keluar dari Laos tiada masalah tapi untuk masuk dari Thailand bergantung pada nasib (pada ketika itu, sekarang saya tak pasti). Di dalam google map pun tidak dapat saya plotkan laluan kerana tidak kelihatan. Ianya bermula dari Luang Prabang (menyeberangi sunga) menuju ke Mueng Ngeun yang akhirnya akan keluar ke Hongsa. Saya percaya jalan di Hongsa kini sudah menjadi lebuh raya. Semasa melaluinya ianya sedng giat dibangunkan dan mungkin Power Plant yang dalam pembinaan itu sudah siap.
Terdapat 9 sungai semasa kami melaluinya. Bilangan sungai bertambah atau mengurang mengikut musim
Bebelan kami yang baru lepas tergolek beberapa kali. Penat!
Dengan jumlah peserta seramai 18 orang kami memulakan perjalanan dari jeti penumpang ICQ Terminal Antarabangsa Melaka pada 6 Feb 2016 ke Dumai. Perjalanan hanya mengambil masa selama 3 jam berbanding 4 jam pelabuhan Klang – Dumai. Urusan dijeti ini juga jauh lebih mudah dan baik berbanding Jeti Penumpang ASA Niaga di Pelabuhan Klang.
Ada yg dah pernah berkayuh bersama, ada yg pernah bersua tapi tak pernah kayuh bersama dan ada yg tak pernah bersua pun lagi.
Untuk memudahkan urusan, kami telah menginap disebuah hotel yg terletak tak sampai 2km dari jeti penumpang Dumai – Melaka. Sebaik urusan bilik selesai kami masing2 keluar untuk makan tengahhari dan bersiar2 disekitar kota Dumai. Pada sebelah malamnya kami telah memenuhi jemputan dari keluarga Hamdi untuk makan malam. Dapatlah kami beramah mesra dengan keluarganya. Hamdi adalah seorang pemuda berketurunan Batak Mandailing yang pernah berbasikal di Malaysia dan banyak membantu semenjak dari mula kenal.
Dari kiri Wani, saya, ibu Hamdi, Kak Ann, kakak Hamdi, Katya, Tun dan Sara. Kopi O mereka sangat sedap! Habis 4 jug besar kami kerjakan!
7 Feb 2016 (Ahad)
Dumai -Batu Panjang
Batu Panjang – Pantai Ketapang
Pulau ini bukanlah terkenal didalam peta pelancongan (wisata) Indonesia. Masih banyak kemudahan seperti jalan raya dan air bersih belum tersedia. Boleh dikatakan kayuhan kali ini melibatkan hampir 80% darinya adalah off-road. Saya yg kekurangan info mengenai kondisi terbaru jalannya telah mengakibatkan pemilihan jenis basikal dan tayar yg salah oleh peserta. Alhamdulillah tiada masalah besar terjadi, cuma salah seorang peserta, spoke basikalnya telah patah di 2 tempat.
Spoke basikal Sara patah pd 2 bahagian
Pada asalnya kami ingin menaiki RORO untuk ke Pulau Rupat. Tetapi setelah melawat ke jeti tersebut semalam, kami dapati ianya terletak kira-kira 8km dari hotel dan bersempena dengan cuti Tahun Baru Cina, ianya sesak dan proses beratur akan mengambil masa yg sangat lama dan kami harus keluar hotel seawal jam 5 pagi waktu Indonesia. Hamdi telah mencadangkan perkhidmatan speedboat laju di jeti Pattimura tersebut. Ianya pilihan yang tepat kerana menurut penduduk, pada hari tersebut ada yang terpaksa menunggu sehingga trip ke 2 untuk menaiki feri (feri berlayar setiap 1 jam).
Di Jeti Pattimura bersama (dari kiri) Nuri, Hamdi mereka berdua pernah datang ke Malaysia dan menginap dirumah saya, Kyrul, saya, Ifal pemuda berasal dari Bandung menetap di Dumai mengusahkan stall burger, Sharil dan Adi
Satu boat memuatkan 5 orang dan 5 basikal. Perjalanan selama 20 minit menuju pelabuhan Batu Panjang.
Beginilah rupanya boat kami beraksi
Jeti Batu Panjang, Pulau Rupat. Abang Haris dengan folding bike DAHONnya
Terdapat 3 cara untuk sampai ke pulau ini dari Dumai iaitu speedboat kecil, speedboat besar berkuasa 800 atau 1000 kuda dan juga Feri RORO. Ketiga2nya melalui jeti yg berbeza disekitar pesisir laut Kota Dumai. Pulau ini masih bergantung kepada air hujan dan air bawah tanah sebagai sumber bekalan air mereka. Tanah gambut menyebabkan air bawah tanah berbau agak busuk seperti telur tembelang.
Jeti RORO yg terletak kira-kira 9km dr jeti penumpang Dumai – Melaka
Keindahan pulau ini tidak terletak kepada pantainya tetapi keindahan budaya dan masyarakatnya. Penduduk asal pulau ini adalah suku kaum asli yang dipanggil suku Akit yg berasal dari sekitar Sungai Siak dan telah diberikan penempatan di Pulau Rupat oleh Sultan Siak semasa mereka diserang Aceh. Nama Akit dipercayai berasal dari perkataan’rakit’ yg mana mereka menghabiskan banyak masa mereka diatas rakan yang gunakan sebagai rumah dan kenderaan menangkap ikan dan berburu. Mereka telah mula menduduki Pulau Rupat semenjak kurun 15 – 17.
Kemudiannya pulau ini didatangi oleh pendatang dari Kepulauan Jawa dan juga masyarakat Cina Tionghua yg dibawa masuk oleh pedagang2. Masyarakat Cina ini kemudiannya ada yang mengahwini suku Akit, mengamalkan budaya Cina dan dikenali sebagai Cina Akit. Berkulit gelap, bermata sepet. Hasil dari pemerhatian kami terdapat 4 bangsa menetap di pulau ini iaitu Akit, Jawa, Cina Tionghua dan Cina Akit.
Bahasa yang digunakan oleh masyarakat disini sangat mirip dengan bahasa Melayu Malaysia. Tiada jawapan pasti kenapa tetapi yang pastinya mungkin kerana kedudukan mereka yang hampir dengan Malaysia. Kadang2 kami tersasul menggunakan bahasa Indonesia sedangkan mereka membalasnya dengan bahasa Melayu yg pekat. Gurau kami “ni siapa yg org Indonesia, siapa yg org Malaysia?!”
Bersama salah seorang penduduk berbangsa Cina Akit (paling kanan) dan bangsa Jawa (paling kiri)
Malam pertama di Pulau Rupat adalah di Pantai Ketapang yg terletak kira-kira 70km dari jeti Batu Panjang. Dengan keadaan jalan yang sekejap simen sekejap kerikil dicampur dengan angin dari arah depan yang kuat melambatkan perjalanan kami. Pada sesetengah peserta ianya sungguh mecabsr metal dan fizikal mereka. Jalan masuk ke Pantai Ketapang adalah 10km off road dgn 2km terakhirnya jalan berpasir. Sebaik tiba dipantainkami dapati anginnya terlalu kuat. Kami percaya ianya sekitar 30 ke 40 knott perjam. Menurut orang kampung ianya tidak pernah terjadi sebelum ini dan ianya telah berlangsung selama 3 hari. Terkejut agaknya menyambut rombongan dari Malaysia! Keinginan untuk berkhemah dipasir pantai terpaksa dibatalkan. Mujur ada pondok-pondok buluh disekitar pantai yang disewakan dengan kadar 100,000 Rupiah bersama kemudahan elektrik dan air.
Kami sempat bergambar diatas pelamin pengantin! Tuan rumah ajak makan tapi kami baru sahaja lepas bersarapan dan mengejar masa. Setiap rumah pengantin ada 2 pelamin. Yang ini diluar dan didalam rumah pula sebuah pelamin kecil, mungkin untuk upacara berinai.
Setelah hampir 30km Sara mengayuh basikalnya dalam keadaan tayar belakang gelong teruk, akhirnya kami jumpa kedai pakcik ini. Walau pada mulanya beliau enggan membaiki basikal Sara, namun akhirnya beliau mengalah setelah Sara memujuknya dengan muka kesian. Tanpa menanggalkan tayar dari basikal beliau telah menggantikan 2 batang spokes dan melakukan ‘balancing’. Pakcik memang hero lah
Orang kampung ajak kami joget lambak di sebuah kenduri kahwin! Wak layan kan jer lah! Satu adat yang telah tidak diamalkan di Malaysia.
Adi bersama Sharil
Pondok2 buluh beratap nipah yg dimiliki oleh seorang lelaki Cina Akit. Tanah disekitar situ adalah milik neneknya yang berbangsa Akit.
8 Feb 2016 (Isnin)
Pantai Ketapang – Teluk Rhu
Hari kedua di Pulau Rhu perjalanan agak pendek iaitu sekitar 30km dan saya mengambil keputusan untuk tidak menetapkan waktu untuk semua orang bersiap. Tapi nampaknya mereka semua jenis’on-time’. Sekitar jam 8 pagi, masing2 sudah siap untuk berkayuh. Cukup berdisiplin mereka semua ni nampaknya. Seperti biasa, bergerak dalam kumpulan yang besar, keberangkalian untuk berpecah dah salah informasi adalah tinggi. Kumpulan kami telah terbahagi dua dan masing-masing bergerak dgn kadar kelajuan masing-masing. Kumpulan hadapan telah mendapat info bahawa destinasi bermalam telah bertukar dari Teluk Rhu ke Pantai Lapin. Saya yang berada didalam kumpulan kedua pula telah meneruskan perjalanan ke Teluk Rhu. Komunikasi agak sukar kerana liputan internet yang kurang baik. Saya telah memutuskan untuk bermalam ditempat berasingan. Bagus juga mereka bermalam di Pantai Lapin kerana ianya lebih “happening” dari Teluk Rhu. Saya hanya berpesan kepada kumpulan yang satu lagi untuk memastikan mereka berada di Pelabuhan Tanjung Medang yang terletak kira-kira 6km dari Teluk Rhu sebelum jam 1 tengah hari.
Perayaa Tahun Baru cina disambut meriah oleh penduduk berketurunan Cina di pulau ini. Kebetulan kembara kami kali ini bersempena dengan cuti perayaan tersebut, maka kami berpeluang melihat budaya mereka menyambutnya. Apa yang dapat dilihat ialah rumah-rumah mereka dihiasi dengan kain rentang berwarna merah dipintu masuk. Apa yang menariknya sepanjang jalan dapat kami dengar mereka memasang lagu-lagu berselang seli antara lagu dangdut dan lagu Cina. Sangat meriah!
Sebuah keluarga Cina Tionghua lengkap berpakaian serba merah bagi meraikan perayaan Tahun Baru Cina. Gong Xi!
Saya bersama Kak Ann disalah sebuah rumah penduduk di Desa Cingam
Anak Rupat excited melihat kami
Kumpulan saya menginap di Teluk Rhu. Pemilik wisma ini nampaknya mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran tinggi atas kami. Bilik berkipas angin dikenakan harga 150,000 rupiah dan untuk tapak perkhemahan 40,000 rupiah setiap orang. Sumber air bawah tanahnya tidak dirawat dengan baik. Busuk melekat dibadan!
9 Feb 2016 (Selasa)
Teluk Rhu – Pelabuhan Tanjung Medang
Semasa pulang kami menaiki sebuah speedboat besar menggunakan enjin kuasa 800 kuda melalui pesisir pantai Pulau Rupat disebelah Barat. Boat ini berhenti dibeberapa buah jeti untuk mengambil penumpang di perkampungan2 yang terpencil dan sukar untuk dicapai kerana masih tiada jalan raya dan bekalan elektrik.
Main panjat2 pokok kelapa!
Speedboat besar berkuasa 800 kuda.
Antara jeti2 di perkampungan sekitar Rupat Barat. Jeti ini dibuat dr batang Nibong, dibina penduduk tanpa bantuan kerajaan sepanjang 500m.
Malam terakhir di Dumai kami memutuskan untuk menikmati “street food” yang memang saya gemari. Roti Bakar Bandung adalah antara satu kemestian!
Cak! Roti Bakar Bandung pelbagai perisa!
Ifal, mengusahakan stall burger. Pemilik basikal Faderal. Malam pertama belanja kami air lassie, malam terakhir belanja kami teh botol dan cuba tidak mahu mengambil wang dari kami yang membeli burgernya. We insist to pay! Dia mengalah hehehe
10 Feb 2016 (Rabu)
Dumai – Melaka
Urusan pulang pada keesokan harinya berjalan lancar. Ternyata berurusan denga jeti penumpang di Melaka ini sangat mesra pengguna!
Mission accomplished!
Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang mengikuti pengembaraan kali ini. Harap Pak Latif, Jai, Shukri, Abg Haris, Adi, Thor, Sharil, Kyrul, Avtar, Kak Ann, Wani, Katya dan Sara tidak serik. Wak Rahim, King, Wak Jan dan Tun terima kasih kerana selalu ada dalam setiap trip saya.
Ada diantara gambar2 didalam blog ini adalah hasil dari lensa camera rakan-rakan yang pergi. Terima kasih!
Keep visiting this entry, videos by Wak Jan will be updated soon!
1) jangan sesekali membuang sampah merata walaupun penduduk tempatannya kata “buang aja disitu”. Takda tong sampah, masuk poket atau beg. Jumpa tong sampah baru buang.
2) melanggar undang-undang. Hormatilah walaupun anda rasa tak patut.
3) mempertikaikan adat budaya mereka biar pun anda tidak berkenan.
4) tunjuk banyak wang tunai. Letak duit ditempat berasingan. Hanya masukkan jumlah perbelanjaan harian dalam dompet. Yang selebihnya simpan dibeberapa tempat didalam beg atau beg yg berlainan.
5) tawar menawar berlebihan sedangkan kita tahu harga tu sudah cukup rendah. Bantulah ekonomi mereka, bukan menekan mereka.
6) vandalisma. Kadang dlm keghairahan kita, secara tak sengaja kita telah melakukannya. Vandalisma tidak hanya terikat pada perbuatan merosakkan, tetapi perbuatan seperti menampal, mengecat, menulis, tindakan yg boleh menyebabkan kerosakan atau mengubah sesuatu juga boleh dianggap vandalisma.
Ingat, sebagai pengembara, anda membawa nama tempat asal anda, negeri maupun negara. Jaga tingkah laku. Rakam memori indah dlm minda bukan meninggalkan kesan yg dipandang negatif oleh masyarakat tempatan.
Ada beberapa rakan basikal yang berminat dengan touring sering bertanya pada saya beberapa perkara. Antaranya ialah
1) Berapa jarak dalam sehari yang sesuai?
2) Macam mana nak tentukan bilangan hari dan jarak?
3) Berapa banyak barang hendak dibawa?
Sesetengah soalan adalah sangat subjektif jawapannya. Tiada yg betul ataupun salah. Kebanyakkannya dipelajari setelah kita melakukan beberapa kesilapan. Maknanya, buat dulu baru tahu ianya betul atau salah, sesuai ataupun tidak. Saya akan cuba jawab soalan-soalan tersebut melalui pengalaman saya yang tidak seberapa ini. Ianya lebih kepada satu perkongsian dan tiada niat mahu mengatakan saya benar, awak salah atau mengajar kawan-kawan. Bolehlah dikatakan ianya sebagai tips bagi membantu kawan-kawan membuat pilihan dan keputusan.
1) Berapa jarak dlm sehari yg sesuai?
Jarak dalam sehari adalah sangat subjektif dan bergantung pada tujuan kayuhan tersebut dan jumlah hari yang perlu. Biasanya jarak sehari saya tentukan setelah meneliti faktor-faktor yang berikut :-
◆ bentuk muka bumi laluan.
Semakin banyak pendakian semakin pendek jarak. 45km hingga 60km adalah jarak yang sesuai. Sekiranya laluan lurus tanpa pendakian, jarak yang sesuai adalah 80km – 100km
◆ setting basikal dan bebanan yang dibawa.
Sekiranya basikal yang dipilih ialah setting roadbike, bertayar 700c, dropbar, laluan flat, bebanan kurang dr 20kg, tidur dihotel, mungkin anda boleh tetapkan kayuhan sejauh 120 – 150km sehari.
Tapi sekiranya basikal anda adalah dari jenis basikal touring tradisional bertayar 26′ × 2.0, bebanan 50kg dgn khemah dan peralatan memasak, jarak 80km sehari adalah yang paling sesuai dan memadai.
◆ mode touring.
Sekiranya anda mahu menjelajah, melawat beberapa tempat menarik disepanjang laluan mungkin anda boleh rancang jarak perjalanan sekitar 60 – 80km sehari. Tapi seandainya laluan itu sudah selalu anda lalui, tiada tempat menarik, tiada niat untuk berhenti lama disesuatu tempat, bolehlah dijarakkan perjalanan sehingga 100km sehari.
2) Macam mana nak tentukan bilangan hari dan jarak?
Seringkali kita hanya ikut sahaja plan rakan-rakan yang lain. Tapi adakalanya kita teringin untuk rancang sendiri perjalanan kita. Macam mana hendak mengagak bilangan hari dan jaraknya? Berikut adalah beberapa faktor yang diambil kira bila saya membuat rancangan.
◆ bilangan hari cuti yang anda ada.
Sekiranya pendek, carilah tempat yang berdekatan atau yang boleh dicapai dalam satu hari perjalanan. Jika panjang, bolehlah anda memilih tempat yang agak jauh dan memerlukan perjalanan selama lebih sehari untuk sampai di tempat permulaan. Sekiranya tidak, anda akan lebih banyak buang masa utk ke tempat mula berbanding mengayuh.
◆ ‘been there done that’
Kalau hanya niat untuk setakat sampai disesuatu tempat, papan tanda, batu tanda jalan, mercu tanda, bolehlah buat jarak kayuhan 500km selama 5 hari. Tapi sekiranya anda mahu explore, ambil gambar sana sini, bergaul mesra dengan orang tempatan, 500km tersebut sebaik-baiknya dilakukan dalam 6 – 7 hari. Jangan lupa untuk peruntukkan 1 hari extra setiap 500km sebagai hari rehat.
◆ “road less travel”
Sekiranya anda merancang untuk berkayuh ditempat yang sangat kurang ‘review’ dari pertouring lain atau tak pernah lagi dijelajahi, sebaik-baiknya jumlah hari kayuhan adalah termasuk 1 atau 2 hari kecemasan. Ini saya belajar dari kesilapan saya sendiri semasa merancang kayuhan di Gayo Lues, Aceh. Dari 4 hari menjadi 6 hari kerana keadaan jalan yg teruk dengan pendakian purata 10% gradient setiap hari. Target 80km sehari berakhir dengan 35 hingga 50km sehari sahaja.
3) Berapa banyak barang hendak dibawa?
Setiap kali hendak mengemas barang yang hendak dibawa, pasti kita jadi bingung, apa yang hendak dibawa dan yang tak perlu kita bawa. Seringkali kita berakhir dengan membawa barang yang kita tidak gunakan langsung. “Self support touring” akan membuat anda membawa lebih banyak barang. Berikut adalah senarai barang yang hendak dibawa dan berapa faktor yang diambil kira untuk menentukan berapa banyak barang yang perlu kita bawa.
◆ pakaian
Setelah beberapa kali saya keluar bertouring sependek 5 hari sehinggalah sepanjang14 hari, sebenarnya pakaian yang diperlukan hanyalah sepasang baju bersih, sepasang baju yang ada dibadan, sepasang baju tidur dan 2 helai t-shirt extra (utk perjalanan melebihi 5 hari). Baju yang dibawa adalah dari jenis yang mudah dikeringkan. Tetapi kita haruslah rajin membasuhnya selang sehari disetiap tempat perhentian. Sekiranya anda tidur dihotel-hotel, mungkin anda boleh mengurangkan lagi jumlah pakaian dengan menghantar pakaian kotor anda ke laundry.
◆ memasak sendiri
Sekiranya anda lebih gemar memasak sendiri makanan anda, atau tempat yang anda pilih tidak mempunyai makanan halal atau diragui kebersihannya, maka anda harus bersedia untuk membawa lebih barang. Anda perlu membawa sekurang-kurangnya 2“portable stove”, 4 gas tin, “portable pots and pans” atau messtin. Bekalan asas seperti beras, minyak dan gula juga perlu dibawa. Sekiranya pergi lebih dari seorang, barang ini boleh diagihkan untuk mengurangkan bebanan.
◆ camping
Sekiranya anda memilih untuk tidur didalam khemah, masjid/surau atau apa sahaja selain hotel, ini bermakna anda akan membawa lebih banyak barang. Sebuah khemah/hammock, sleeping mat, sleeping bag dan flyer akan menambah sekurang-kurangnya 2kg bebanan yang anda bawa. Anda juga perlu membawa lebih gadget seperti power bank untuk memastikan handphone dan kamera anda sentiasa bercas.
Diharap perkongsian diatas dapat memberi idea untuk mereka yang mahu serius dalam dunia touring. Apa yang dapat saya ringkaskan ialah :-
》 its a touring, not toturing
》 bicycle touring is a lifestyle, not sports
》 its about journey not destination nor distance
3 asas ini kalau kita hayati dan fahami, InsyaAllah mudah bagi kita menikmati dunia touring ini sambil bermusafir dibumi Allah. Selamat berkayuh semua! Sekiranya ada lagi soalan-soalan atau mungkin saya tercicir point-point penting, harap dapat maklumkan kepada saya.
Saya telah menulis di Facebook saya tentang beberapa tips buat rakan-rakan yang ingin menyeberang ke Thailand menggunakan kenderaan sendiri seperti motorsikal dan kereta.Sila klik disini. Tulisan ini Alhamdulillah mendapat sambutan baik dikalangan rakan2 dan telah dikongsikan lebih dari 19o kali dari FB saya. Selain itu ianya juga telah diterbitkan oleh 2 buah website/FB seperti berikut:-
Pada 14 Mac 2015 yang lalu, diatas usaha rakan permotoran laman sosial iaitu saudara Komrad Nasery (nama FB) telah menganjurkan Kembara Pesisir Pantai 2015, terbuka kepada semua jenis, kelas motorsikal. Saya mengambil peluang ini dengan membawa sebuah motor lama iaitu Honda C70. Dengan kuasa hanya 70cc saya menyahut cabaran ini. Wak sebagai “guide” telah menaiki Honda CRF250 beliau. Kembara selama 2 hari ini nampaknya telah mendapat sambutan yang menggalakkan dimana pesertanya terdiri dari pelbagai peringkat umur dan elbagai jenis dan kelas motorsikal dari BMW R1150GS hinggalah ke Honda C70 (that’s me!). Biarpun laluan ini telah banyak kali saya lalui samada dengan basikal maupun motorsikal tapi kali ini agak berbeza kerana saya sendiri yang akan menunggang dan motorsikal yang saya tunggangi itu pula adalah sebuah jentera lama!
Poster kembara
20 buah motor semuanya. Ada yang telah sedia kenal di FB, ada yang baru berkenalan, Lokasi di Pengkalan Sementa
Penunggang motor jenis ini memang tak boleh duduk, sentiasa berdri untuk mudah mengawal motor katanya
C70 sangat mudah untuk dikawal. Di laluan ini serasa seperti bersiar-siar santai sahaja melalui halangan-halangan yang ada
Laluan ini sebenarnya adalah ban-ban yang dibina oleh JPS. Sesetengah pihak tidak bertanggungjawab telah memagar dan mengunci laluan ini – Pantai Sungai Sembilang, Jeram
Laluan berpasir yang menjadi ujian kepada para peserta. Tiada masalah buat C70
Adakalanya laluan tersekat dengan tumbuhan-tumbuhan renek dan lalang memberi sedikit cabaran buat kami
Laluan ini membawa kami terus ke dalam Taman Alam Kuala Selangor
Laluan ini benar-benar di tepi pantai
Matahari terik bukan penghalang
Bagan Pasir, Tanjung Karang
‘Kilang Gula’ yang dibina semasa zaman penjajahan British yg terletak di Tanjung Karang
Tanjung Pasir, berhampiran Sekinchan
Minum petang di sebuah jati tinggal di Batu 20. Kami pernah bermalam di jeti tersebut, tidak sangka pada seiap Sabtu dan Ahad, ianya dikunjungi ramai penduduk tematan. Makanannya sangat murah dan sedap. Pada hari itu kami dibelanja oleh seorang pemuda tempatan yang juga memunyai minat didalam dunia permotoran
Kunci air yang telah tidak digunakan lagi. Dihadapan sekali ialah Azizan Zolkipli (rakan berbasikal kami) menunggang Yamaha RS100 milik arwah bapa Wak
Kami memasang khemah di Dataran Sungai Nibong
Hari ke 2 – 15 Mac 2015
Jumlh peserta telah bertambah semalam apabila ada yang mengikuti kami dari Kuala Selangor, tetapi pada hari kedua jumlah peserta kembali ke asal apabila 3 dari mereka terpaksa pulang awal kerana ada kematian saudarsalah seorang dari mereka. Perjalanan hari itu diteruskan sebelum berpisah di Tanjung Karang.
Riderz Kental (nama FB) sedang membantu Azizan mengikat kemas begnya. Dia sangat setia mengekori belakang Azizan dan memastikan beliau tidak mendapat sebarang masalah disepanjang kembara ini. 2 thumbs up for him
Kembara Classics (nama FB) bersama anak beliau. Anaknya amat menyukai kembara ini, Tidak sekali pun dengar dia mengeluh
Adik perempuan Wak mengikuti kami bersama suaminya.
Antara laluan kegemaran saya
Di Pengkalan Sungai Haji Dorani
Terserempak dengan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand
Rupanya mereka mengambil ketam batu untuk dijual kepada pemborong dari Bangkok. Mereka juga mengambil benih ketam untuk dibela di Satun. Bagi saya mereka mencuri! Kawasan ini merupakan Hutan Simpanan Kekal. Telah saya adukan ke Jabatan Perhutanan namun sampai sekarang tiada balasan.
Saya harap dihentikan pengeluaran lesen membela udang di kawasan ini. Tanpa kolam udang, pesisir pantai Selangor adalah sangat cantik dan mampu menarik pelancong dan pencinta alam
Alangkah indahnya sekiranya dapat bermalam disini. Ini adalah antara laluan baru yang kami temui
Menunggu bot penambang di Sungai Air Tawar, Selangor. Di seberang sana ialah Hutan Melintang, Perak.
Sekarang kami memasuki Negeri Perak
Melintasi sungai yang sama untuk memasuki Selangor semula
Tiada tambang dikenakan.
Makan tengahari yang agak lewat di Selera Rimba, sungai Panjang. Agak mahal pula untuk udang galah dan ayam kampung.
Pada tahun 2012, pertama kalinya saya masuk ke Hatyai hanya berdua dengan Wak Rahim dan menginap disebuah hotel yang bernama Pink Lady. Semasa dilobinya saya tertarik dengan sebuah potret yang tertulis “Sultan Sulaiman Shah, King of Singora”. Pada saat itu saya mula berminat untuk membaca dan mencari sejarah mengenai tamadun Melayu dan Islam di Selatan Thailand. Namun begitu saya tidaklah terlalu serius untuk mencari dan melihat sendiri kesan-kesan sejarahnya kerana tidak tahu dimana hendak bermula. Setelah kisahnya sedikit saya kongsikan didalam group FB yang ramai pengikutnya iaitu Advanture Touring Malaysia, ramai pula yang berminat dan telah sama-sama memberikan maklumbalas dan petunjuk dimana terletaknya sejarah peninggalan Sultan Sulaiman Shah ini. Diantaranya ialah Abang Burn dan Joe Karlisa (aktivis bahasa Melayu di Satun). Yang rajin hendak membaca mengenai sejarah Raja Singora ini bolehlah baca di wikipedia (sila klik disini)
Potret Sultan Sulaiman Shah yang terdapat di lobi Pink Lady Hotel pd tahun 2012. Sekarang telah tiada
Berbekalkan petunjuk yang ada dan sedikit cerita dari wikipedia (yang lain dalam bahasa Thai), saya pun memulakan pencarian bersama Wak Rahim dengan menggunakan jentera Yamaha Y15ZR. Entah kenapa bagaikan tak boleh bertangguh walau sehari lagi, kami memasuki Thailand pada 8 Oktober 2016 melalui Bukit Kayu Hitam. Bergerak dari Klang malam sebelumnya pada jam 9 malam, singgah rehat dibeberapa hentian dan tiba di BKH pada jam 6.30am. Selepas bersarapan pagi di Danok, kami meneruskan perjalanan menuju ke terminal feri di Khao Daeng, Songkhla melalui Koh Koyo.
Jentera kami Yamaha Y15ZR. Kali ke 3 ke Thailand. Sengaja fully loaded untuk menguji ketahanan rack dan beg buatan Wak (belakang) dan beg Vincita. Ternyata tahan lasak dan waterproof
Juga sesuai dan selesa untuk ride 2 up!
Sampai sahaja kami dikaki gunung Khao Daeng ini, kami ternampak sebuah masjid yang bernama Sultan Sulaiman Mosque. Mata kami liar mencari-cari apa sahaja yang kelihatan seperti sebuah kubu, makam atau binaan-binaan lama. Kelihatan beberapa anak tangga yang kami syaki ada hubung kaitnya dengan kubu-kubu lama itu. Kelihatan juganbeberapa tanah perkuburan cina terletak dikaki bukit ini. Kami percaya ianya sebuah tanah perkuburan lama. Jenuh saya mencari info mengenainya tapi tiada disebut dimana-mana internet tahun bilakah ianya dibina.
Saya merasa yakin kesan peninggalan kubu yang saya cari ini dibina oleh Sultan Sulaiman berdasarkan beberapa tulisan di wikipedia yang banyak merujuk kepada buku-buku dan jurnal-jurnal lama yang ditulis oleh pengembara, pedagang dan wakil kerajaan barat pada ketika itu. Kami ada cuba bertanya-tanya pada penduduk kampung disitu, tapi malangnya masalah bahasa menjadi halangan. Perkampungan disitu terselit diantara pantai dan kaki bukit berbatu keras. Berselang seli antara kampung nelayan Islam dan Buddha. Setelah puas tawaf kaki bukit tersebut, kami ambil keputusan untuk berpatah balik ke Masjid Sultan Sulaiman untuk solat Zuhur. Semasa menghampiri masjid tersebut, kelihatan seorang jemaah sedang berjalan menuju ke masjid. Wak terus memberi salam dan nampaknya beliau boleh berbahasa Melayu sedikit. Sampai di masjid, kami bertanyakan padanya tentang Sultan Sulaiman. Lain kami tanya lain yang beliau jawab. “Faham melayu ke tidak dia ni?” Kataku dalam hati. “Ada Malai kawin sini semalam. Orang nyanyi”. Kami bingung, Wak tanya “Awie?”. “ya, ya, semalam. Tengok sana”. Dia menolak Wak kesebuah bilik berpintu kaca gelap dibawah masjid. Wak cuba mengikuti beliau yang menaiki tangga keatas untuk solat. Tapi beliau tetap suruh Wak pergi ke bilik tersebut.
Wak pun masuk dan keluar semula dengan muka yang agak ‘excited’ dan meminta tablet saya. Dia mengajak saya masuk. Rupanya didalamnya adalah sebuah pelamin. Pelamin ini serupa dengan pelamin Awie yang kecoh dimedia yang telah berkahwin di Songkhla. Tidak terfikir saya kenapa beliau memilih untuk bernikah di Masjid Sultan Sulaiman ini. Kenapa bukan Masjid Songkhla yang besar ala-ala Taj Mahal tu? Setelah selesai solat, jemaah yang lain memperkenalkan kami dengan imam masjid tersebut yang menurut mereka fasih berbahasa Melayu. Saya dan Wak merasa lega. Terus kami aju kan tentang kubu-kubu dan makan Sultan Sulaiman. Tapi nampaknya beliau lebih teruja untuk bercerita mengenai perkahwinan Awie! Aduh…dah kenapa orang disini begitu teruja dengan perkahwinan Awie? Menurut imam tersebut, Awie mendakwa bermimpi untuk bernikah dimasjid Sultan Sulaiman ini. Melalui mimpinya beliau adalah berketurunan Sultan Sulaiman Shah. Imam itu mengakuinya kerana beliau sendiri adalah asal keturunan yang sama. Barulah kami faham kenapa Awie berpakaian seperti orang-orang purba siap bertanjak kuning dihari pernikahannya. Penduduk disitu seolah-olah mengangkat beliau sebagai keturunan terdekat dengan Sultan Sulaiman Shah. Bila kami bandingkan muka Awie, memang ada iras juga dengan potret Sultan Sulaiman! Kebetulan atau fakta? Wallhua’lam.
Masjid ini terletak disebelah kanan jalan menuju ke terminal feri penumpang dari arah Koh Koyo
Pelamin yang didakwa dimana majlis pernikahan Awie berlangsung
Gambar diambil diinternet.Samakan pelaminnya?
Ada mirip Awie tak?
Kami tanyakan lagi pada imam tersebut tentang makam Sultan Sulaiman dan kubu. Menurut beliau kubu sudah tiada, yang ada cuma makamnya sahaja. Pelik! Saya tunjukkan beberapa gambar diinternet. Bukan, itu Ayuthaya katanya. Sedikit hampa, saya meminta beliau berikan arah ke Makam Siltan Sulaiman, sebaliknya beliau mengajak saya dan Wak menaiki pick-up nya untuk beliau bawa kami terus kesana. Kami merasa amat berbesar hati dengan tawaran tersebut. Terletak kira-kira 1km dari masjid, menuju ke pelabuhan kontena disebelah kiri, terdapat sebuah perkuburan berpagar dan berkunci. Ternyata ada penjaganya. Saya tanyakan kenapa begitu, menurut beliau terlalu ramai yang berbuat macam-macam termasuk kerja-kerja syirik dikubur tersebut, termasuklah masyarakat Buddha. Sebaik sampai dimakam terus keseluruhan badan saya menjadi seram sejuk! Menurut imam tersebut, disebelah makan adalah kubur anaknya. Kubur disitu bercampur diantara kubur lama dan baru. Terdapat juga sebuah telaga yang dibina bersama-sama makam tersebut. Di dalam makam terdapat gambar-gambar Sultan yang sama seperti yang saya lihat pertama kalinya di Pink Lady. Secara otomatis saya menyebutnya “sama di Pink Lady!”. Imam yang dengar terus menerangkan pada saya bahawa pemilik asal Pink Lady adalah berketurunan Sultan Sulaiman Shah, tetapi telah menganuti agama Buddha. Tapi entah kenapa, sekarang potret itu telah tiada di lobi hotel Pink Lady. Saya dan Wak menyedekahkan bacaan Al-Fatihah buat Al-Marhum.
Imam yang berbaik hati membawa kami ke makam
Tanpa Imam ini pasti sukar untuk kami mencarinya kerana ia kawasan berpagar dan hanya ditulis didalam bahasa Thai
Makam Sultan Sulaiman Shah
Plague yg terdapat di makam
Gambar yang sama di Pink Lady. Juga terletak dihadapan makam
Keadaan didalam makam
Saya tanyakan lagi pada imam tersebut, sepatutnya ada kubu. Beliau berkeras mengatakan tiada langsung, telah habis semasa peperangan. Yang ada adalah kubu kerajaan Ayuthaya. Disini saya agak tersentak. Fakta yang manakah yang benar? Dalam perjalanan pulang, imam menunjukkan kami kubu tersebut. Kami katakan pada imam, kami pergi sendiri kerana tidak mahu menganggu masa imam. Sebaik tiba di masjid, kami bertemu dengan 2 orang penunggang motor berkuasa besar dari Pulau Pinang. Kami mengajak mereka sama-sama pergi ke kubu, tapi nampaknya mereka tidak berminat. Tak mengapalah, ada orang memang menunggang motor hanya untuk keseronokan menderum enjin, tidak seperti kami, motor hanyalah tunggangan untuk menjelajah.
Pada masa ini, hati saya mula merundum kerana kubu-kubu itu dikatakan bukan kepunyaan Sultan Sulaiman. Dengan hati yang berat, kami terus menuju ke tempat yang ditunjukkan oleh imam itu tadi. Ianya terletak berhampiran sebuah anak sungai (yang kemudiannya baru saya tahu ianya adalah ‘moat’). Inilah kubu yang saya lihat dalam gambar yang ditunjukkan oleh kawan Abang Burn. Disebalik kubu dan dibelakangnya ada pula rumah penduduk. Dibina hampir sangat dengan tembok tersebut. Saiz tembok panjang dantebal dan saya membayangkan betapa besar dan kukuhnya dinding kubu ini. Beberapa bahagian telah runtuh. Tiba-tiba tuan rumah yang berada betul-berul disebelah kubu tersebut keluar dan bertanya kami dalam bahasa Thai. Saya kata “Malai, no Thai”. Dia cuba berbahasa Inggeris yang tunggang langgang dengan kami. Melihat pada rumahnya saya tahu beliau berbangsa Siam beragama Buddha. Menurut beliau tembok ini adalah dinding kota yang dibina oleh Siam iaitu kerajaan Ayuthaya. Sultan Sulaiman telah menyerangnya berkali-kali. Bila saya kata kota ini milik Sultan, lekas-lekas beliau menafikan. Ini menambahkan lagi kehampaan saya. Sejarah manakah yang sebenarnya diubah?! Tiada langsung papan tanda informasi disitu, baik dalam bahasa Thai maupun bahasa Inggeris. Saya merasa amat hairan kerana, Thailand cukup menjaga lokasi-lokasi sejarah purbanya. Segala infomasi pasti terdapat dikawasan-kawasan terletaknya monumen sejarah. Agak tidak terpelihara kawasan itu. Menurut lelaki itu lagi, masih ada banyak kubu yg kedudukan agak selari dengan tembok ini. Dia sebut “this no.1, 100m from here no.2, 3, 4, 5 until 8…up”. Saya balas, “up mean stairs? I saw stairs, climb that stairs to fort 8?”. Dia mengangguk. Setelah berterima kasih pada beliau, kami terus menuju ke anak tangga yang kami nampak sebelum itu. Ianya terletak berhampiran dengan feri untuk kereta dan motor ke Songkhla. Terdapat sebuah perigi dihadapan tangga tersebut di sebelah kanan dikaki bukit. Tidak jauh dari Masjid Sultan Sulaiman.
Fort no.1 yg terletak hampir dgn simpang ke feri, sebelum masjid
Panjang dan tebal. Wak bersama dgn penduduk disitu
Pemandangan dari atas Fort no.1, kelihatan dibelakang’moat’ yang masih ada sehingga sekarang
Tidak terdapat sebarang petunjuk pun disitu untuk kita tahu ianya mempunyai sebuah monumen sejarah purba. Sebelum sampai disini, apa nama kubu tersebut pun saya tidak tahu. Maka pada ketika ini, dengan perasaan berbelah bagi, kepala serabut tak cukup tidur, badan penat setelah ride sejauh 600km, tak dapat saya nak bezakan sejarah lisan atau sejarah tertuliskah yang benar? Tangganya agak curam dan sempit. Seronok sebenarnya melihat sesuatu yang tidak banyak diceritakan diinternet. Terasa seperti mencari harta karun. Terbayang-bayang apa yang akan kita temui. Separuh jalan, terdapat satu papan tanda arah yg agak lusuh. Tulisan pun ada takda jer. Tertulis disitu, kekiri, Fort No.8 dan ke kanan Stupa. Ok, kita lihat fort no.8 dulu. Dalam pada tu merungut pada Wak. “Stupa? Why stupa? Kalau kota ini dibina oleh Sultan Sulaiman, macam mana pula ada stupa?”. Laluan agak mendaki tanpa tangga menuju ke fort no.8. Sesampainya disitu terasa agak teruja dan berfikir betapa stratergiknya kedudukan kubu tersebut. Menghadap muara dan Teluk Siam. Memang nampak segala pergerakan di laut, pantai dan kaki bukit. Terdapat sebuah meriam disitu. Tak pasti ianya asal atau replika. Tapi saya syak ianya hanyalah sebuah replika. Seperti site yang tadi, disini juga tiada sebarang bentuk informasi atau papan kenyataan. Setelah puas mengambil gambar dan wak siap ‘berdokumentari’ versi dia, kami meneruskan pendakian mencari stupa. Tapi nampaknya jalan semakin mengecil dan bersemak samun. Tak sangka Wak takut kena ‘ambush’ dan menyuruh saya berpatah balik.
Selepas masjid, tidak jauh dari terminal feri anda akan nampak tangga ini disebelah kanan jalan
Papan tanda lusuh menunjukkan arah ke fort no.8
Yang ini pula ke arah candi kemenangan… huh!
Fort 8 yg sangat stratergic kedudukannya
Masih terpelihara dengan baik dan terdapat hanya sebatang meriam disitu
Hasil dari cakap-cakap imam dan lelaki Buddha yang merupakan penduduk tempatan disini, apakah bermaksud kerajaan Ayuthaya lah yang telah mebina kubu hebat ini dan kalah dibom oleh Sultan Sulaiman? Adakah kekalahan ini yang cuba ditutup oleh kerajaan Thai?
Masih ada rasa tidak puas hati kerana tidak nampak lain-lain kubu seperti yg dikatakan lelaki di runtuhan tembok tadi. Dia kata kedudukannya selari, jadi Wak menggunakan ‘instict’nya yang kuat dan bagus, terus membelok kesebuah simpang diantara masjid dan runtuhan tembok (fort no.1). Dalam 100m, tiba-tiba kami terpandang sebuah reka bentuk rumah kayu yang agak tradisional disebelah kiri jalan. Wak terus membelok masuk. Saya lihat tiada sebarang papan tanda atau lain-lain informasi pada rumah tersebut. Wak terus kebelakang dan kami nampak sebuah tangga yang sama dengan tangga ke fort no8 tadi. Disitu kami lihat ada seorang wanita bertudung sedang berbaring dihammock. Kami tanya bolehkah dia berbahasa Melayu. Dia kata “sikit-sikit boleh melayu”. Rupanya beliau adalah seorang penjaga rumah yang kami nampak tadi. Rumah tersebut adalah sebuah “Information Center” untuk peninggalan kubu-kubu ini. Terus Wak tanya, siapakah yang bina kubu-kubu ini. Sultan Sulaiman Shah katanya. Kubu ini rosak ketika bertempur dengan tentera Siam dari kersjaan Ayuthaya sekitar tahun 1642. Semakin keliru saya! Sudah tentulah kakak penjaga information center itu yang benar faktanya. Saya nampak ada satu papan tanda arah yang tertulis “Moat of Fort of Songkhla” dan beberapa tanda arah fort no. 4, 5, 6, 10. Barulah saya tahu, nama rangkaian kubu-kubu ini adalah Fort of Songkhla. Moat atau parit benteng itu sudah kering tapi masih jelas bentuknya.
Archeological Information Center
Dibelakang info center ini terdapat papantanda arah fort seterusnya
Rombongan anak sekolah. Kelihatan dari sini anak tangga menuju ke fort 4, 5, 6 dan stupa
Fort no.4
Fort no.4 dari arah lain
Fort no.5
Fort no 6 dan tertinggi. Separuh nyawa dah masa ni!
Pemandangan dari atas fort no.6
Stupa 1
Stupa 2. Keduanya dibina diatas tapak fort no.10
Mungkin fort no.18?
Berhampiran kawasan ini terdapat kerja-kerja menggali fort no.12. Tapi kelihatan seperti terbengkalai
Kadang tu saya agak menyesal dengan sikap gelojoh tidak sabar saya bila mahu mencari sesuatu. Kerana sikap inilah saya tidak dapat masuk ke dalam pusat informasi tersebut yang mungkin terkandung pelbagai cerita mengenai sejarah kubu ini. Mungkin juga ada peta letaknya kesemua kubu. Keputusan untuk mendaki tangga dahulu adalah salah. Kerana sebaik sahaja turun semula, pusat informasi tersebut telah ditutup dan kakak itu sudah tidak kelihatan. Apa pun, setelah mengetahui nama kubu itu secara tepat, dapatlah saya membuat carian di google untuk mendapatkan informasi dan data mengenainya. Dapatlah saya rumuskan yang cerita kakak itu adalah lebih tepat. Berbalik pada sifat gelojoh itu juga, saya tidak perasan yg papan tanda itu ada memberi level ketinggian setiap fort. Rupanya fort yang paling atas terletak di ketinggian 525m! Azabnya saya rasa hendak menghabiskan anak-anak tangga yang curam tersebut. Bersama dengan kami, sebuah rombongan sekolah dari Singa Nakhorn kelolaan sebuab syarikat bernama PPET yang melakuka kerja-kerja CSR dengan membawa mereka melawat tapak sejarah ini. Saya tanyakan pada guru mereka, anak-anak sekolah ini dan pekerja PPET, tak seorang pun tahu langsung mengenai kubu ini!
Satu persatu anak tangga saya daki. Jantung bagai nak pecah mengepam. Tapi rasa penat hilang sedikit setiap kali saya nampak kubu-kubu no.4, 5 dan 6. Di kubu paling atas, kita dapat lihat hampir seluruh panorama tasik Songkhla dan Teluk Siam. Setelah diatas dapat saya rasakan yang jalan ini akan bersambung terus ke Stupa dan fort no.8. Saya yang kepenatan, terus duduk di Fort no.6 sambil membayangkan zaman silam dan kegemilangan Singora. Bagaimanalah agaknya rupa askar-askar yang sedang mempertahankan kubu dari serangan musuh. Siapakah sebenarnya yang bertahan dan siapakah sebenarnya yang menyerang. Dalam pada waktu itu, Wak telah meneruskan laluan denai tersebut dan akhirnya sampai ke Stupa yang dibina diatas kubu asal iaitu fort no.10. Setelah itu, kami turun kembali dan mendapati information center tersebut telah pun ditutup. Merayau-rayau disekitar pusat itu, saya dapati ada lagi tanda arah lain iaitu fort no.2, 3, 12. Tapak 2 dan 3, tidak sempat saya jejaki kerana saya percaya ia berada dicelah-celah yard container. Di fort no.12 ada kesan eskavasi yang terbengkalai. Disebelahnya terdapat sebuah plague yang menunjukkan ianya adalah kawasan arkeologi yg sedang dikaji. Fort no.7 pula hampir musnah dipecah oleh penduduk yang membina rumah mereka disitu. Hari semakin senja, saya dan Wak terpaksa meninggalkan kawasan tersebut. Saya anggap, hanya fort 2 dan 3 yang saya masih belum lihat. Balik ke hotel, barulah dapat saya cas semula handphone. Dari situ saya mula membuat carian berkenaan Fort of Songkhla. Kenapa pula dinamakan Fort of Songkhla sedangkan kubu ini telah dibina semasa ianya masih bernama Singora? Peta lama juga menyebutnya sebagai Fort of Singora. Rupanya terdapat 18 kubu/fort disekeliling kaki bukit Khao Daeng. Maknanya masih berbaki Fort 2, 3, 9, 11, 13, 14, 15, 16, 17 untuk saya jejaki. Nampaknya Misi ke2 pencarian harus dilakukan!
Salah satu peta lama. Garisan merah jalan purba yang skrg telah menjadi container yard.
Satu lagi peta lama yang boleh dirujuk
Sila rujuk nombor pada peta dengan petunjuk ini
Semalaman saya memikirkan hasil penjelajahan kami hari itu. Saya bandingkan apa yang dikatakan oleh penduduk tempatan berbanding apa yang terdapat di Wikipedia. Saya bandingkan juga keadaan tinggalan-tinggalan kubu tersebut yang terbiar/tak terawat, usaha mempromosi jauh berbeza dengan kebiasaan kerajaan Thai yang sangat bagus dlm memelihara monumen dan tapak arkeologi mereka. Kenapakah sejarah ini kelihatan seperti ‘dianak tirikan’ dan bagaikan tidak penting? Apakah yang cuba ditutup? Apakah yang cuba disembunyikan? Penduduk tempatan seperti di’brainwashed’ dengan menganggap kubu ini adalah tinggalan kerajaan Ayuthaya dan Sultan Sulaiman lah yang menyerang kubu tersebut. Tiada peninggalan hebat dari Sultan Sulaiman melainkan makam beliau.Di plague makam beliau juga cuma mengatakan dia yang memajukan Singora, tiada langsung disebut mengenai kubu hebat binaan beliau ini. Stupa diatas bukit hanya dibina pada tahun 1830 sebagai tanda kemenangan Siam melawan serangan Kerajaan Kedah. Stupa itu berjaya mengelirukan orang yang tidak tahu sejarah sebenar dan menganggap kubu itu dibina oleh kerajaan Siam Ayuthaya.
Bagi yang tertanya-tanya, apa yang sebenarnya tertulis didalam Wikipedia dan kenapa saya lebih mempercayai nilai ceritanya berbanding cerita lisan penduduk ialah, sumbernya banyak dibuat melalui buku-buku, jornul, manuskrip yang ditulis pada ketika itu oleh pedagang, mubaligh dan wakil-wakil kerajaan barat yang berurusan dengan kerajaan Singora pada ketika itu.
Secara ringkasnya menurut Wikipedia yang tertulis didalam bahasa Inggeris kota ini telah beberapa kali diserang oleh kerajaan Pattani yang diperintah oleh seorang permaisuri (mungkin ada kaitan dengan kerajaan Langkasuka).Menurut Wikipedia Sultan Sulaiman Shah merupakan anak kepada Datoh Mogul, bangsa Parsi yang berasal dari Tanah Jawa. Beliau telah dilantik sebagai gabenor Songkhla. Tidak dinyatakan apa keturunan bondanya dan apakah beliau dilahirkan di Singora (nama asal Songkhla). Bapanya memajukan Singora dan berjaya menjadikannya sebuah entreport. Pedagang dari British, Perancis, Belanda dan China datang berdagang di pelabuhan ini. Songkhla pada ketika itu membayar ufti berbentuk pokok emas kepada kerajaan Ayuthaya. Beliau tidak menganggap mereka berada dibawah penguasaan kerajaan Ayuthaya, tapi sebaliknya mengiktiraf sahaja kerajaan tersebut. Selepas beliau meninggal dunia, anaknya Sulaiman mengambil alih pada tahun 1619 atau 1620 dibawah perlantikan dari Raja Songtham, Raja Kerajaan Ayuthaya pada ketika itu. Singora semakin maju dan pernah diserang lagi oleh kerajaan Pattani. Sultan telah meminta bantuan dari Ayuthaya tetapi tidak dilayan. Mungkin kerana dendam inilah Sultan enggan membayar ufti dan mula mahu merdeka sepenuhnya dari pengaruh kerajaan Ayuthaya. Dengan itu, beliau mengangkat dirinya sebagai sultan, Raja Singora pada tahun 1642. Beliau telah membina kubu-kubu ini kerana beliau pasti, raja Siam akan murka dan menyerang Singora. Sebanyak 3 serangan telah dilakukan. Selama hampir 3 dekad tidak satu pun berjaya menembusi kubu ini.
Pada tahun 1668, beliau mangkat dan diganti oleh anaknya Mustapha. Kerajaan Kedah juga telah beberapa kali membantu Singora menghadapi serangan dari kerajaan Pattani. Kerajaan Kedah terkenal dengan kepakaran membuat meriam dan teknik berperang. Akhirnya pada tahun 1679, Raja Siam menghantar kapal perang terhebatnya beserta bala tentera yang ramai menyerang Singora. Setelah dikepong selama 6 bulan, akhirnya Singora tewas, bandar dan kubu habis musnah. Setelah kehancuran ini dilakukan tiada lagi pedagang yang mahu berdagang di Singora dan telah beralih ke Bangkok. Wakil kerajaan Perancis ada menulis kononnya Sultan telah berjaya ditangkap apabila salah seorang tentera Siam telah menyelinap masuk dan menangkap Sultan hidup-hidup. Tapi ada penafian keatas cerita ini. Ada yang lebih percaya bahawa Sultan mangkat ketika berperang. Kuburnya terletak bersebelahan kubur Sultan Sulaiman. Apakah sebenarnya barat memainkan peranan melaga-lagakan kerajaan Singora dengan Authaya bagi menjatuhkan kerajaan Islam yang hebat? Keturunan Sultan Sulaiman termasuklah Raja Rama iii di mana ibunya adalah Puteri Sri Sulai. Puteri tersebut adalah anak kepada Sultan Sulaiman. Anak-anak beliau yang lain telah diberi pengampunan dan dilantik sebagai gabenor Phattalung dan Caiya. Lain-lain keturunan beliau termasuklah bekas Perdana Menteri Thailand ke 22, bekas jeneral tentera laut dan keluarga penenun sutera di sebuah perkampungan Islam di Surat Thani iaitu kampung Phumriang. Rasanya kampung Phumriang ini bakal menjadi misi menjejak kami seterusnya. Meriam milik Sultan Sulaiman yang mempunyai cap mohornya beserta beberapa tulisan arab diukir dan disalut dengan Perak dan juga nama pengukirnya iaitu Tun Juma’at Abu Mandus of Singora. Tiada data langsung mengenai sang pengukir ini. Meriam ini telah dirampas dan bertukar tangan beberapa kali sehinggalah akhirnya dipersembahkan sebagai hadiah kemenangan British kepada Queen Victoria. Meriam ini sekarang berada di Royal Hospital Chalsea, London. Banyak sebenarnya meriam-meriam buatan Singora dan Kerajaan Kedah telah dirampas dan dihantar ke British untuk dihadiahkan kepada Queen. Ini menunjukkan orang Melayu Nusantara sudah berupaya menempa besi membuat senjata mereka sendiri sejak tahun 1600’an lagi atau mungkin jauh lebih awal dari tamadun barat.
Apakah lama kelamaan sejarah kesultanan ini akan berkubur dan dilupakan seperti kubu-kubu ini? Walaupun mungkin ada cubaan untuk menutup sejarah ini, tapi mereka tidak mampu memadam sejarah-sejarah yang tertulis dan tersimpan di luar negara itu. Pemikiran rakyatnya memang boleh diubah/pesong, tapi kita sebagai orang yang cintakan sejarah harus terus membongkar dan merekod sejarah ini agar tidak dilupakan oleh generasi akan datang, orang Melayu nusantara khasnya. Atau apakah kesultanan yang berusia tidak sampai 100 tahun ini (1605 – 1680) tidak dianggap penting dalam sejarah Siam. Barat dari dahulu cuba memadam tamadun-tamadun Melayu/Islam/Jawi dgn membayangkan kita hanyalah bangsa yg duduk dipondok rumah atap rumbia ditepi sungai dan berburu menggunakan tombak.
Begitu jugalah sejarah kesultanan dinegara kita sendiri. Sering saya tertanya-tanya kenapa institusi raja sendiri tidak memelihara istana dan tinggalan sejarah kita sendiri? Apakah yang mahu disorokkan, dinafikan? Sejarah sememangnya ditulis oleh mereka yang menang. Tinggal lagi kita mahu menerimanya bulat-bulat atau menjejaki dan melihat sendiri kesan-kesan yang tinggal. Berfikir jauh dalam menilai isi-isinya.
Atas permintaan ramai rakan-rakan basikal, saya telah sekali lagi menganjurkan sebuah lawatan berbasikal ke Danau Toba. Pada kali ini ianya telah disertai oleh seramai 27 orang peserta dari pelbagai negeri, latar belakang dan jenis basikal. Ianya telah diadakan pada 10 – 17 Dec 2016. Pada entry kali ini, saya tidak akan bercerita tetapi sebaliknya meletakkan link video yang telah saya edit dan muat naikkan di Youtube. Untuk mutu gambar terbaik sila tetapkan ke 720p (HD). Saya rasa video ini mampu memberi gambaran lebih jelas pemandangan dan keadaan di sana.
Semasa disana, perjalanan saya dipermudahkan dengan pertolongan Saudara Yudi dari Wong Ryant Tour yang banyak membantu saya dalam urusan logistik. Beliau boleh dihubungi melalui FB – Wong Ryant dan telefon +62 812 6397 1079. Manakala urusan penginapan di Pangururan, Tuk Tuk dan Pematang Siantar pula melalui Saudara Bloom dari Samosir Cottage +62 813 7584 4395. Sekiranya anda memilih untuk menggunakan perkhidmatan feri bolehlah menggunakan perkhidmatan Saudari Nevi untuk melancarkan urusan kastam dan imigresen di Tanjung Balai, Asahan. Beliau boleh dihubungi dinombor berikut +62 852 0701 0950. Mereka ini adalah orang-orang Indonesia yang telah sering saya berurusan. Sangat berdedikasi dan berintegriti.
Pertama kali saya mendengar nama tempat ini beberapa tahun yg lepas. Tapi saya tidak pernah ambil serius tentang kewujudan tempat itu kerana pada perkiraan saya tempat tersebut adalah tertutup dan kunjungan hendaklah secara rasmi melalui temujanji dan melalui badan-badan tertentu. Memandangkan saya hanyalah golongan persendirian, mana mungkin kami akan dapat ke tempat tersebut tanpa jemputan.
Saya, Wak, Tun Teja, King dan Wak Jan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini sangat berminat dengan sejarah lama Melayu. Minat kembara berbasikal atau bermotorsikal kami sering diselitkan dengan pencarian seperti mencari sejarah Kerajaan Melayu Lama iaitu Linge di Aceh Tengah, Pulau Lingga, Gangga Negara, Kerajaan Sanggora, batu megalithic/menhir serta makam-makam raja.
King pula mula berminat dengan tanjak dan cuba menerapkan pemakainnya menggantikan cap/topi. Didalam pencariannya itu lah telah membawa kami ke Pulau Misa. Memandangkan cerita Pulau Misa ada diceritakan dalam blog orangperak.com dan penulisnya adalah sahabat baik kami sendiri iaitu Fred, kami telah mendapatkan sedikit info dari beliau.
Seperti hari yang telah ditetapkan kami pun mula bergerak dengan jentera kapcai kami yang telah diubahsuai untuk tujuan pengembaraan dari Klang terus menuju ke Teluk Intan. Kami telah singgah di Menara Condong Teluk Intan dan situs dimana seekor gajah jantan telah merempuh sebuah keretapi kerana dendam pada September 1894. Dipercayai keretapi itu telah melanggar anaknya sebelum itu. Bangkai gajah itu telah ditanam ditempat kejadian dan kepalanya telah diawet dan disimpan di Muzium Taiping.
Terserempak dengan kawan lama dunia permotoran
Wak macam biasa pose tak nak kalah. Di monument gajah melanggar keretapi
Setelah mengabadikan beberaa keping gambar di tempat -tempat bersejarah tersebut, kami terus menuju ke Bota Kiri. Dari maklumat yang kami ada, Pulau Misa terletak di Teluk Kepayang, Bota Kiri. Nampaknya orang tempatan sendiri kurang tahu dimana letaknya tempat ini, terutama golongan tua. Bila ditanya mereka sangka Pulau Pisang. Menurut mereka Pulau Pisang ini terletak tidak jauh dari Teluk Kepayang. Rasa hendak tergelak pun ada. Ye lah, Pulau Pisang dan Pulau Misa memang hampir sama bunyinya. Tapi bila ditanya pada golongan muda, ternyata mereka lebih tahu dan memberi tunjuk arah yang tepat. Menurut mereka ianya terletak di Teluk Kepayang dan ada papan tanda disebelah kanan jalan.
Tanpa melengahkan masa, kami pun terus pulas menuju ke Pulau Misa. Dalam hati masing-masing masih tertanya-tanya bagaimanakah rupa pulau tersebut, bagaimanakah penerimaan mereka terhadap kami, apakah niat kami untuk bermalam disitu diizinkan dan sebagainya.
Ternyata kurang dari 15 minit selepas itu kami telah nampak papan tanda seperti yang diceritakan. Apalagi tanpa buang masa kami pun merakamkan beberapa gambar untuk dijadikan kenangan dan rekod. Sedang kami sibuk bergambar, seorang pemuda berambut panjang telah menyapa kami dan berkata “Tok Temenggong ada kat dalam! Pi lah jumpa”. Wah, permulaan yang bagus.
Tanpa berlengah, kami pun terus masuk ke dalam. Ianya terletak agak jauh ke dalam. Kelihatan sebuah pintu gerbang dan sebuah pondok kelihatan seperti pondok pengawal. Wak telah melaporkan diri disitu dan menyatakan hasrat kami dan ingin bertemu dengan Tok Temenggong. Mereka telah menyambut kami dengan mesra dan salah seorang dari mereka pergi memanggil Tok Temenggong.
Jalan masuk ke Pulau Misa
Pintu gerbang Pulau Misa
Sementara itu saya memerhatikan sekeliling “perkampungan” itu. Ternyata suasananya seolah-olah sebuah perkampungan kecil zaman dahulukala. Terdapat beberapa buah rumah kampung mengelilingi kawasan tersebut. Kelihatan beberapa penghuni sedang berlegar-legar sedang melakukan pelbagai aktiviti termasuklah mengembala kambing. Kanak-kanak pula berlarian bermain sesama mereka. Ditengah-tengahnya ialah sebuah pentas. Pasti di sinilah mereka membuat persembahan, kata saya dalam hati. Apakah kami berpeluang melihat persembahan kebudayaan nanti?
Tak lama kemudian muncul seorang lelaki berusia sekitar 40an berambut panjang melepasi bahu, berbaju tradisional Melayu bagaikan orang dulu-dulu menghampiri kami. Penjaga pondok pengawal tadi memperkenalkan lelaki itu sebagai Tok Temenggong. Wak mewakili kami memerkenalkan diri dan menyatakan hajat dan hasrat kami. Dengan ramah beliau mengajak kami ke sebuah pondok dipinggir sungai. “Marilah kita berbual-bual di sana. Lebih selesa dan kalian juga boleh tidur di pondok itu malam nanti. Malam ni ada persembahan kebudayaan. Datanglah ya”. Segala keraguan dan tanda tanya kami sebelum ini terlerai. Tanpa syarat, tanpa basa basi kami diterima begitu sahaja sebagai tetamu.
Sesampai di pondok itu, gembira sungguh hati kami bila melihat kedudukannya yg sangat hampir dengan Sungai Perak. Pondok besar tanpa dinding itu bagaikan hotel bertaraf 5 bintang buat kami! Kami kebiasaannya tidak memilih sangat tempat tidur, asalkan ada sumber air berdekatan. Pondok ini lengkap dengan tandas yang terletak hanya kira-kira 100m jaraknya. Kelihatan beberapa ekor kambing yang ditambat berdekatan pondok sedang bising mengembek.
Tok Temenggong membuka bicara tentang asal usul Melayu. Dekatnya Melayu itu dengan Islam. Mengapa Melayu itu berambut panjang, apakah disebalik tanjak, tulisan jawi, tentang Ilmu, Alam dan Iman dan juga bagaimana tempat ini terpilih sebagai pusat kebudayaan dan kenapa namanya ialah Pulau Misa Melayu. Terlalu panjang untuk ditulis. Beliau telah mengongsikan ilmunya tanpa lokek. Terlalu banyak yang kami pelajari dari beliau dalam waktu yang terlalu singkat. Kalau hendak tahu lebih lanjut tentang Melayu, datanglah berkunjung ke Pulau Misa.
Tok Temenggong membuka bicara. Di pondok inilah kami bermalam
Malu ke nak mengaku Melayu? Malu ke nak berbusana dan mengamalkan kebudayaan Melayu? Terlalu banyak persoalkan cara orang dulu-dulu berdakwah? Banyak kerja bidaah dibuat dek Melayu? Mengapa Melayu semakin layu? Segala persoalan ini akan terjawab. Melayu ni terlalu berkias, berlapik dalam berbicara. Sangat setia dan punya toleransi yang tinggi. Masih sesuaikah sikap demikian dizaman ini? Toleransi ada batasnya, janganlah sampai dibuli di tanah air sendiri.
Pulau Misa ini sebenarnya didirikan di tanah rezab sungai. Menurut Tok Temenggong mereka masih dalam proses permohonan tanah tersebut. Apabila ditanya tentang kewangan persatuan ini, beliau berkata ianya adalah 100% atas sumbangan orang ramai dan penduduk sendiri. Mula dibuka pada tahun 1992 oleh pengasas persatuan ini iaitu Tuan Zulkifli bin Ismail.
Selain berfungsi sebagai sebuah pusat kebudayaan Melayu, perkampungan ini juga cuba membantu golongan penagih dan remaja bermasaalah. Kehadiran mereka disini adalah secara sukarela. Kawasan ini bukan pusat tahanan. Tidak berpagar dan bebas untuk keluat masuk. Tetapi untuk terus tinggal di sini mereka haruslah mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan. Setiap aktiviti haruslah mendapat izin terlebih dahulu dari Tok Temenggong. Mereka juga harus mengikuti pengajian agama, sembahyang berjemaah, aktiviti kebudayaan dan membantu menguruskan perkampungan tersebut.
Jiwa mereka ini diisi dengan keperluan rohani dan hiburan berbentuk kebudayaan sedikit sebanyak menarik minat mereka untuk terus menetap disini menjalani pemulihan. Mereka ini akan terlibat dengan persembahan kebudayaan yang dipersembahkan setiap hari Sabtu malam Ahad bermula jam 10.30 malam hingga jam 12.00 malam.
Jam 5.00 petang Tok Temenggong meminta diri dan kami pun mula membersihkan diri dan seperti biasa, chef kami Wak dan King pun memulakan operasi memasak untuk makan malam kami. Tok Temenggong telah menghantar bantal, selimut serta sejadah buat kami. Memang betul-betul rasa teruja dengan layanan mereka. Sambil masak dan berehat kami dapat mendengar mereka sedang berlatih dendang. Bunyi alatan muzik tradisional bersilih ganti. Kami makan sebelum maghrib kerana Wak dan King ingin menyertai mereka sembahyang maghrib dan isyak berjemaah.
Chef Wak dan King sedang beraksi. Suasana tepi sungai ni buat perut sentiasa lapar
Tepat jam 10.00 malam, persembahan pun bermula. Saya pada mulanya merancang untuk berbusana tradisional. Tapi entah macam mana tertinggal pula. Apabila sampai di pentas, perasaan menyesal saya membuak-buak apabila melihat penghuni serta tetamu lengkap berbusana Melayu lengkap bertanjak dan berkeris. Segak-segak semuanya dan saya rasa seperti telah di teleport ke zaman Hang Tuah. Selama 2 jam kami telah dihiburkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian dan silat. Satu perasaan yang sukar digambarkan. Melihat anak-anak kecil turut sama mempersembahkan tarian dan silat membuat saya kagum. Kanak-kanak bebas bermain di perkampungan ini tanpa dirisaukan keselamatan mereka. Sama seperti suasana perkampungan dahulu kala.
Tiba-tiba ada yg pakai blangkon pula
Merajuk si comel ni bila tak dibenarkan menari tarian seterusnya
Persembahan yang mengagumkan
Bersama penari cilik dan pemuda yang membuat persembahan silat
Wak dan King bersama orang kuat persatuan. Tok Temenggong segak berbusana lengkap
Tetamu dan penghuni Pulau Misa semuanya lengkap berbusana Melayu
Segak-segak tak?
Tuan Tanjung Putus
Antara persembahan malam itu
Selepas selesai persembahan kami telah dihidangkan dengan jamuan ringan dan kami telah disapa oleh “pembesar-pembesar” persatuan ini. Seronok dapat berbual dengan mereka sambil-sambil bertukar pandangan. Sempat juga kami berbual dengan Tuan Tanjung Putus adik kepada Tok Temenggong yang merupakan seorang kakitangan kerajaan yang aktif didalam persatuan ini.
Kami kembali ke pondok jam 1 pagi. Suasana sejuk mula terasa. Bunyi ikan toman menyambar mangsanya silih berganti dengan bunyi unggas lain. Aman damai dan saya pasti akan tidur nyenyak ke pagi. Nasib baik Tok Temenggong bekalkan kami selimut. Kalau tidak pasti kami menggigil kesejukan.
Pagi itu kami tidak tergesa-gesa kerana tiada destinasi lain yang mahu kami tuju. Kami ingin bersarapan pagi di Qawwam iaitu sebuah warung dimana semua pekerjanya berbusana Melayu siap bertanjak termasuklah si penebar roti canai. Konsep warung ini sama dengan sebuah warung di Kampung Bukit Cherakah dengan nama yang sama iaitu Qawwam. Rupanya warung ini adalah hasil usaha persatuan kebudayaan Dendang Anak dan merupakan salah sebuah cawangan yang ada selain di Bota Kiri. Kalau ada yang berminat untuk membeli tanjak boleh lah membelinya di Qawwam.
Sebelum bergerak balik, kami telah melawat sekitar perkampungan dan mengambil beberapa gambar untuk dijadikan kenangan. Kami telah dijemput untuk “taam” sebelum berangkat pulang. Makan bihun goreng dalam talam bersama air kopi ternyata lebih sedap dari biasa. Satu budaya yang diamalkan oleh kumpulan tabligh dan merupakan sunnah Nabi SAW.
Suasana pagi di tebing Sungai Perak
Ta’am
Kopi yang sedap
Ayam Belanda yg busy body. Ikut kemana saja kami pergi
Selamat tinggal Pulau Misa! Kami tangguh dulu
Video – credit Tun Teja
Walaupun persatuan ini tidak mengenakan sebarang bayaran untuk menyaksikan persembahan mereka mahupun penginapan di situ, saya menggalakkan pengunjung untuk membuat sedikit sumbangan ikhlas buat mereka. Sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu mereka meneruskan kegiatan kebudayaan dan usaha pemulihan terhadap mereka yang bermasaalah di perkampungan ini. Tiada caj dikenakan terhadap golongan ini. Bantulah mereka membantu orang Melayu yang telah tewas dek godaan dunia. Saya lihat golongan remaja bermasalah sangat berdisiplin dan mampu dibentuk dengan minat mereka terhadap seni muzik, tarian dan silat Melayu.
Sebelum kembali ke rumah kami sempat meninjau rumah-rumah lama di pinggir sungai Perak. Ianya adalah cadangan dari sahabat kami di Perak iaitu saudara Zairil atau lebih mesra dengan panggilan Yen. Kami telah pergi ke rumah moyang beliau. Sila klik pautan ini untuk cerita lanjut
Saya harap entry saya kali ini dapst memberi manfaat kepada banyak pihak. Segala pertanyaan dan pendapat boleh lah ditinggalkan di ruang comment. Terina kasih kerana sudi membaca.
Diakhir tahun 2017, saya dan beberapa rakan lain telah menyewa motorsikal di Aceh untuk mengulangi semula laluan di Gayo Highlands. Kami juga telah mencuba laluan alternatif yang masih belum siap sepenuhnya. Saya telah menyunting dan memuat naikkan video di laluan tersebut ke Youtube.
Hari pertama kami tiba di Lapangan Terbang Iskandar Muda jam 8.30am dan terus menaiki taxi ke rumah Santi. Walaupun ini kali ke-2 saya ke sana, saya jadi agak keliru mencari rumahnya. Ternyata telah terlalu banyak perubahan berbanding tahun 2014. Gembira dapat bertemu dengan beliau sekali lagi. Kalau dulu kami berbasikal tapi kali ini kami akan menyewa motorsikal. Semua urusan telah dibuat sebelum kami tiba.
Pada hari tersebut kami cuma bersantai sambil menunggu motorsikal yg disewa dihantar ke rumah Santi. Keluarga Santi telah menyediakan pelbagai juadah khas Aceh buat kami untuk minum pagi dan makan tengah hari.
Pada sebelah malamnya setelah menerima motorsikal sewa, kami telah membawa Santi ke Toko Eiger dan mengopi. Saya juga dapat menghubungi rakan FB lain iaitu Mahendra. Beliau telah sudi datang ke kedai kopi yang kami kunjungi untuk beramah mesra. Terlalu banyak yang dibincangkan sehingga tak terasa masa berlalu, termasuklah kisah suku mante yang penuh misteri.
Day 2 (7 Dec 2017)
Keesokan paginya kami terus bergerak ke Pelabuhan Ulee Lhee untuk menyeberang ke Pulau Weh. Bertepatan dengan tarikh kedatangan kami, Kelab Motorsikal Aceh akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran di KM0 Sabang. Wak telah mendapat jemputan dari salah seorang rakan FB yang merupakan panitia acara itu. Sebelum ke pelabuhan kami sempat singgah di Masjid Baitul Rahim untuj melihat kesan tsunami. Masjid ini adalah salah satu bangunan yang terselamat daro tsunami yang membadai Aceh pada tahun 2004.
Panitia mereka sudah siap menanti kami di pelabuhan. Mereka telah membantu menguruskan penyeberangan kami ke Pulau Weh. Jadual perjalanan feri kebiasaannya hanyalah 1 pelayaran sehari. Tapi bersempena dengan satu acara antarabangsa yang sedang berjalan dan juga acara motorsikal ini, jumlah pelayaran telah dipertingkatkan. Belum sempat saya bersaraoan, kami telah dipanggil untuk berangkat. Pelayaran mengambil masa hampir 1 jam. Sebaik sahaja tiba di Pelabuhan Balohan, Pulau Weh, kami telah disambut oleh panitia dan dibawa ke rumah singgah bikers.
Sesampai sahaja kami di sana, temoat itu ternyata sudah dipenuhi oleh bikers dari seluruh Sumatera dan Jawa. Pelbagai jenis motorsikal yang mereka tunggangi. Dari yang telah berkarat sepenuhnya hinggalah ke rangka motorsikal berbalut tikar. Mungkin anda bayangkan big bike seperti Bike Week di Malaysia dan Thailand. Tetapi sebaliknya semakin dhaif keadaan motorsikal itu semakin besar penghormatan diberikan.
Keadaan yang agak sesak di runah singgah itu tidak memungkinkan kami untuk menginap disitu. Kami telah meminta izin untuk mencari penginapan di tempat lain. Setelah puas mencari tempat yang sesuai untuk kami bermalam, saya mengambil keputusan untuk menghubungi Santi. Beliau telah mencadangkan sebuah resort milik kawannya. Setelah dihubungi dan pergi terus ke tempat itu. Alhandulillah, kami telah diizinkan untuk bercamping di halaman resort itu.
Nama resort tersebut ialah Ujung Kerueng. Tempat yang sangat cantik dan sesuai untuk mereka yang suka terjun junam ke dalam laut dan malam hari kami dihiasi jutaan bintang dan berpuluh tahi bintang yg silih berganti melintasi kami. Kami berbaring diluar khemah menelentang menghadap langit menyaksikan fenomena alam ini. Sesekali saya terkejut apabila Keluang melintas terbang. Besar!
Day 3 (8 Dec 2017)
Keesokan paginya, kami mengambil keputusan untuk mengelilingi Pulau Weh. Kami telah singgah dibeberapa lokasi wisata dan berbual2 dengan orang tempatan. Lokasi wajib adalah KM0 dimana terdapatnya sebuah monumen bagi menandakan titik paling barat Kepulauan Indonesia. Setelah puas bergambar, kami terus ke tapak acara Ride to KM0 untuk bertemu Zuhdi rakan FB Wak yang merupakan panitia utama acara itu.
Beliau agak berat hati bila mengetahui kami tidak dapat menyertai acara kemuncak keesokan harinya. Oleh kerana masa yang agak terhad kami tidak dapat memenuhi permintaan beliau. Kami telag membeli T-shirt dan pihak panitia telah berbaik hati memberikan kami sijil penyertaan.
Setelaj itu kami terus ke Ujong Kerueng kerana kami masih belun berkesempatan merasai air laut disitu. Kami bersantaian dan bermain air laut. Ombaknya yang besar dan arua kuat tak memungkinkan kami berenang di laut lepas itu.
Day 4 (9 Dec 2017)
Malam terakhir di Ujung Kerueng agak tidak menyenangkan. Seorang warga tempatan kurang siuman telah sedikit sebanyak menganggu keindahan malam kami. Cadangan awal tuk bermalas-malasan dan mengambil feri petang terpaksa disegerakan. Seusai solat subuh, kami semua berkemas dan segera ke Pelabuhan Balohan untuk mengambil feri pertama.
Sesampai kami di pelabuhan, feri telahpun penuh. Dengan bantuan calo (ulat) tiket dapatlah kami masuk. Kalau tidak kami terpaksa menunggu jam 2 ptg pula. Sebaik kami masuk, pintu feri ditutup. Tempat duduk tingkat pertama yang berbumbung telah pun penuh. Terpaksalah kami berjemur di deck atas.
Sesampai di pelabuhan kami bersarapan pagi dahulu. Sebenarnya kemuncak acara Ride to KM0 adalah hari ini. Tapi kami harus kekal dengan itinerary kami yang sedia ada.
Perjalanan diteruskan ke arah Meulaboh. Kami target untuk bermalam di Calang. Kami telah singgah ke beberapa tempat wisata yang menarik disepanjang perjalanan kami tersebut. Diantaranya ialah Rumah Cut Nyak Dhien seorang Serikandi Aceh yang sangat terkenal. Saya sering membaca kisah perjuangan beliau sebelum ini. Saya sangat mengagumi keberanian beliau.
Selain itu kami juga sempat singgah di Geurutee iaitu sebuah tempat puncak pandang yang sangat cantik. Tapi untuk menikmatinya, kita haruslah minum di salah sebuah warkop yg memenugi hampir setiap ruang di lereng itu.
Ternyata pemandangan disepanjang jalur ini sangat mengujakan. Walaupun bercampur dengan kesan tsunami, keindahannya tetap memukau. Jalan rayanya jug agak cantik kerana oa telah dibina hasil dari dana yang diderma oleh USAID dan Jepun.
Kami sampai di Calang agak lewat. Kami memutuskan untuk mencari tempat yang sesuai di pinggir pantai. Di Aceh, untuk bercamping seharusnya mendapat kebenaran dari Pak Keuchik. Oleh kerana kami tidak tahu mana nak cari Pak Keuchik, kami meminta kebenaran tuan punya gerai untuk memasang khemah di pondok-pondok gerainya di Pantai Cemara Indah. Alhamdulillah kakak pemilik gerai mengizinkan dan dia telah melaporkan sendiri tentang kehadiran kami disitu kepada Pak Keuchik.
Malam itu kami agak bersantai2 menikmati angin laut. Sedang kami melayan-layan FB diluar khemah, tiba-tiba kami dikunjungi oleh 3 lelaki. Mereka memberi salam dan memperkenalkan diri mereka sebagai Ketua Pemuda. Mengikut laporab dari Pak Keuchik terdapat orang luar menginap di pantai mereka. Jadi adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan semua keadaan terkawal. Melihat adanya wanita dalam kumpulan kami, beliau mahu melihat bukti mahram. Wak dan saya menunjukkan kad nikah. Setelah berpuas hati mereka pun beredar. Sepanjang malam itu mereka kerap meronda. Adakah untuk memastikan kami tidak membuat sesuatu yang melanggar undang-undang ataupun untuk menjaga keselamatan kami?
Day 5 (10 Dec 2017)
Target kami hari ini ialah ke Bahbarot. Tempat kami bermalam ni sebenarnya tiada punca air yang sesuai untuk mandi. Kami ha NJ ya menggunakan air perigi untuk mengambil wuduk dan membuang air kecil. Pagi itu setelah siap berkemas kami terus mencari masjid yang berdekatan untuk menumpang mandi.
Perjalanan kami diteruskan menuju Bahbarot. Jalan yang kami lalui masih lagi dipinggir pantai yang menghadap Lautan Hindi. Sesekali angin bertiup kuat. Sebaik sahaja melepasi Meulaboh kami mula memasuki laluan kampung. “Berhenti!”, jerit saya. “Ciku! Ciku!”. Wak kata sabar, nanti kita cari gerai yang sesuai. Saya ni memang hantu ciku. Sepanjang laluan itu penduduk tempatan menjual ciku dan rambutan. Buah cikunua besar-besar bersize penumbuk orang dewasa. Wak memilih kedai yang dijaga oleh dua orang wanita muda (tektiklah tu).
Sambil-sambil memilih buah ciku kami sempat berbual-bual dengan penjaga gerai itu. Ternyata mereka berdua adalah adik beradik. Si adik merupakan bakal guru lepasan ijazah. Saya tanyakab tentang gaji guru siswazah di Indonesia. Dia kata sekitar 1.5juta hingga 3 juta Rupiah mengikut jam mengajar. Dalam hati saya berkata, “Kesiannya…. Kalau dia tahu berapa gaji guru siswazah Malaysia, nescaya dia sedih”. Tiba-tiba dia bertanya, “Berapa ya kalau di Malaysia? Tentu banyak”. Keberatan betul saya nak jawab. Saya cuma mampu mengangguk. Lekas-lekas saya menegur anak buah dia yang sedang memakai t-shirt Upin & Ipin untuk menukar tajuk. Dengan keramahan Wak dapatlah kami merasa rambutan free.
Setelah itu kami pun meneruskan perjalanan. Bahbarot menjadi pilihan utama kami untuk merasai laluan alternatif yang sedang dibina. Laluan alternatif ini adalah antara 11 laluan yang sedang dibangunkan pemerintah Aceh untuk menghubungkan Jalur Lintas Timur dan Barat dengan Jalur Lintas Tengah. Antara yang terbaru adalah route menghubungkan Aceh Barat Daya (ABDYA) dengan Gayo Lues (GALUS). Sebelum ini laluan asal dari Bahbarot di ABDYA hanya dapat dilalui sehingga ke Tongra. Itu pun hanyalah jalan denai atau istilah lainnya ‘lorong tikus’. Kini jalan tersebut telah dilebarkan (belum bertar) dan telah bersambung dengan Terangun sebuah pekan kecil di GALUS.
Sebaik sampai di Bahbarot kami tercari-cari simpang ke Terangun. Belum sempat bertanya orang tempatan saya ternampak papan tanda menunjuk ke arah Terangun betul-betul disebalah masjid. Sekarang kami harus mencari tempat yang sesuai untuk menginap. Menurut bacaan saya di internet, laluan alternatif ini agak jauh dan tiada data tentang jarak yang tepat. Apa yang saya tahu hanya ada satu tempat untuk mengisi minyak iaitu di Tongra.
Kami masih belum makan tengah hari. Kami buat keputusan untuk mencari kedai makan yang berhampiran. Setelah berlegar-legar beberapa minit dikawasan itu, kami nampak sebuah kedai makan yang agak besar dan terdapat lori-lori parking disekelilingnya. Wak seperti biasa cuba beramah mesra dengan penduduk tempatan. Teruja mereka mendengar hasrat kami hendak ke Terangun menggunakan jalan alternatif itu.
Sambil makan mata saya liar memerhati kedai ini. Says ternampak sisi sebelah kanan kedai ada seperti pondok 2 tingkat dan kelihatan beberapa pemandu lori sedang berehat ditingkat bawah. Saya pasti pondok ini merupakan “RNR” buat pemandu lori. Saya mencadangkan pada Wak untuk bermalam di situ sahaja. Wak meminta izin dari pemilik warung untuk tumpang menginap. Pemilik warung itu yang berasal dari Padang mengangguk memberi keizinan. Adalah kebiasaan di Sumatera ini, rumah makan menyediakan penginapan buat pelanggan mereka. Ada yang berbayar ada yang percuma. Kebiasaannya walaupun percuma, kami boleh menggunakan tandas mereka.
Memandangkan hari masih awal, kami membuat keputusan untuk mencari bengkel motorsikal. Kami mahu pastikan semuanya berkeadaan baik memandangkan kami akan melalui kawasan pendalaman yang penuh dengan ketidak pastian. Sebelum itu kami mencari kedai untuk mengisi minyak. Semasa melintasi Sungai Bahbarot kelihatan ditepi jalan seorang pemuda sedang menjual ikan kelah. Saya yang tak pernah merasa ikan ini agak teruja. Harganya agak murah. Seekor kelah sehasta panjangnya cuma sekitar RM75 itu pun belum ditawar. Tapi memandangkan budget yang agak terhad saya hanya mampu menelan air liur melihat ikan tersebut.
Setelah semua urusan selesai di pekan Bahbarot kami kembali ke kedai makan tadi. Pondok 2 tingkat itu agak besar dan tingkat atas adalah bersih dan selesa. Apa yang penting ada elektrik untuk kami mengecas segala peralatan elektronik kami. Kami tidur nyenyak walaupun sesekali terganggu dengan bunyi lori yang berhenti di kedai ini.
Day 6 (11 Dec 2017)
Seusai solat Subuh, kami terus keluar walaupun keadaan masih gelap. Kami mahu keluar seawal mungkin kerana laluan ini terlalu banyak ketidak pastiannya. Jadi keluar lebih awal bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tersadai dalam hutan.
Laluan ini sebenarnya melalui kawasan hutan simpan jadi sesetengah tempat masih ada binatang liar berkeliaran dan bilangan rumah penduduk sangat kurang. Kalau ada pun rumah kongsi pekerja pembina jalan. Laluan ini bukan sahaja off-road malah melibatkan pendakian yang curam dan selekoh-selekoh tajam. Beberapa kali saya terpaksa turun dan berjalan kaki memanjat tanjakan curam. Sesekali bertukar dengan Wak. Mana tahan saya jer yg hiking!
Ada sekali tu Wak terpaksa tinggalkan beg kami (30kg) dalam semak sebelum berpatah balik ambil saya. Masa tu saya berdiri tegak pun tak boleh. Harus mencondongkan badan kehadapan, bayangkanlah gradient-nya. Seorang abang tu masa berselisih dengan saya, bimbang dia tengok saya kesorangan. Dia kata betul ke saya ok dan tak perlu dia temankan saya. Setelah saya yakinkan dia barulah dia berlalu pergi dengan hati yang berat. Saya faham akan kerisauan beliau kerana sebelum tu pun kami ada terserempak dengan harimau akar. Alhamdulillah kami semua ok jer.
Bagi yang suka pada cabaran, laluan ini adalah satu kemestian! Orang tempatan buat 5 jam, tapi kami 10 jam! Banyak berhenti dan bergambar. Mana tak nya, kabus, pokok sebesar pemeluk, pinus, view point yang cantik memperlahankan perjalanan kami. Saya telah mengedit dan memuat naikkan sebuah video tentang laluan ini di Youtube. Sila lihat entry sebelum ini untuk mendapatkan pautan.
Kami sampai di Pekan Tongra pada jam 3 petang. Masih jauh lagi perjalanan menuju Blangkejeren. Kami pada asalnya hendak bermalam disebuah kawasan air terjun Rebebe. Tapi malangnya kami telah mengikuti laluan lain. Saya hanya menyedarinya selepas nampak papan tanda arah Kutapanjang. Saya beri isyarat untuk berhenti untuk berbincang arah tujuan seterusnya. Kebetulan kami berhenti betul-betul di hadapan pintu gerbang Penosan. Pada mulanya nama tersebut seperti biasa saya dengar. Setelah cuba mengingatinya seketika, baru saya teringat yang kampung ini merupakan laluan masuk ke Gunung Leuser. Disinilah terdapatnya penginapan milik Mr Jali, malim gunung terkenal Leuser.
Saya kata alang-alang sudah di Penosan, baiklah kita masuk dan mencari tempat yang sesuai untuk bercamping. Cuaca nampaknya semakin gelap. Secara tepatnya kami berada di Dusun Kedah yang berada diketingfian sekitar 1,000 mdpl. Pemandangan yang diselang seli debgan sawah padi sangat cantik. Cemburu pula saya dengan kehidupan orang kampung di sini. Kami melepasi Rainforest Lodge Kedah milik Mr Jali. Saya berfikir, tempat penginapan Mr Jali merupakan piligan seterus kami jika gagal mendapat tempat yang sesuai untuk bercamping.
Kami bertanyakan tempat wisata yang sesuai untuk kami bercamping pada orang tempatan. Mereka mencadangkan sebuah tempat hampir dihujung desa. Lupa pula saya nama tempat tersebut. Semasa sampai kelihatan sebuah coffee shop dan beberapa buah pondok menghadap sebuah tasik dan air sungai. Kami cuba bertanya pada pengunjung disitu, pada siapa kami harus minta kebenaran untuk menumpang tidur di pondok-pondok tersebut. Mereka memanggil seorang wanita muda disitu dan memperkenalkan beliau sebagai anak kepada Mr Jali. Alamak, tak boleh lari juga dari Mr Jali. Memang berpengaruh dia disini nampaknya.
Menurut beliau, kami perlu berjumpa dengan Mr Jali di penginapannya untuk mendapatkan kebenaran. Tanpa ada pilihan lain, kami berpatah balik menuju ke Rainforest Lodge Kedah milik Mr Jali. Banyak saya dengar tentang beliau dari kawan-kawan dan internet. Sebaik sahaja kami sampai di lodge tersebut, hujan pun turun dengan lebatnya. Kami masuk ke dalam dan menyatakan hasrat untuk berjumpa Mr Jali.
Rupa-rupanya lelaki yang menyambut kami itu adalah Mr Jali sendiri. Tanpa bertanyakan siapa kami dan apa tujuan kami ke situ, beliau terus menjemput kami duduk dan memanggil isterinya untuk membuat kopi untuk kami.
Hubungan diantara Aceh dan beberapa negeri di Malaysia telah wujud beratus-ratus tahun dulu. Sebelum adanya sempadan negara yang terhasil dari penjajahan barat, seluruh penduduk Nusantara ini saling berkait samada melalui peperangan mahupun perkahwinan. Beberapa kerajaan kuno saling kuasa menguasai rantau ini. Empayar terbina, ketamadunan pun wujud.
Tapi kewujudan empayar dan tamadun ini ada yang hampir tidak dapat dibuktikan kewujudannya melalui bukti arkeologi seperti bangunan dan artifak. Contohnya seperti di Malaysia sendiri, Kerajaan Gangga Negara, Beruas, Merong Mahawangsa maupun Langkasuka hampir tiada tinggalan arkeologi untuk menyokong kehadiran mahupun kehebatannya.
Antara penemuan arkeologi yang masih ada dan boleh dikaji kebiasaannya adalah sisa binaan batuan seperti candi (zaman hindu) dan batu nisan (zaman kebangkitan Islam).
Aceh adalah dimana Kerajaan Islam mula berkembang. Kerajaan-kerajaan ini telah meninggalkan bukti arkeologi dengan tinggalan perkuburan kuno. Terdapat 3 kerajaan kuno iaitu Kerajaan Lamuri atau Perlak (masih dlm pertikaian) yang wujud sekitar abad ke 13 hingga 16. Saya berpendapat ianya lebih awal lagi iaitu sekitar awal abad ke 11. Sementara itu sebuah lagi kerajaan terbina iaitu Samudera Pasai sekitar tahun 1267 masehi. Kerajaan ini berkembang pesat dan akhirnya menguasai Kerajaan Lamuri. Ia wujud sehingga tahun 1521 dan akhirnya diganti dengan kerajaan Aceh Darussalam yang berkuasa dari tahun 1514 masehi hingga 1873 masehi. Peperangan dengan Belanda dari 1874 hingga 1942, penaklukan Jepun 1942 – 1945 telah memusnahkan kerajaan kuno yang telah wujud beratus tahun.
Semasa Aceh Darussalam berada dikemuncaknya, ia diperintah oleh seorang sultan yang bijaksana iaitu Sultan Iskandar Muda (1593- 1636). Pada tahun 1617, Aceh telah menyerang Pahang kerana Pahang telah menandatangani perjanjian dengan Portugis. Semasa peperangan, tentera Aceh telah menculik putera Sultan Pahang pada ketika itu iatu Raja Hussein. Beliau telah dibawa ke Aceh dan Sultan Iskandar Muda telah berkenan untuk menikahkannya dengan puteri beliau yand bernama Tajul Alam Safiatuddin. Sebelum kemangkatan Sultan Iskandar Muda, beliau telah mewasiatkan takhtanya kepada Raja Hussein. Beliau telah ditabalkan dengan nama Sultan Iskandar Thani Alaudin Mughayat Syah pada tahun 1636.
Pernah satu ketika dulu Sultan di Aceh dan Sultan di Perak diperintah oleh adik beradik dari bapa yang sama. Semasa Perang Aceh -Perak pada tahun 1573, Sultan Mansur Syah 1 serta puteranya Raja Alauddin telah diculik dan dibawa lari ke Aceh. Kemudiannya Raja Alauddin telah diangkat menjadi Sultan Aceh ke 8 (1579 – 1586) dengan gelaran Sultan Alauddin Mansur Syah. Sementara itu di Perak, adik beliau Raja Ahmad Tajuddin ditabalkan sebagai Sultan Perak ke 3 (1577 – 1584). Ini membuktikan bahawa Aceh dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia saling berkaitan bahkan mempunyai pertalian darah. Kerana itulah batu nisan Aceh turut ada di beberapa buah negeri di Malaysia seperti Perak, Melaka, Johor, Kedah, Perlis dan Terengganu.
Pembuatan nisan aceh terhenti ketika bermulanya peperangan dengan Belanda, kemudiannya penaklukan Jepun dan penentangan terhadap Republik Indonesia.
Adat pemakaman
Mengikut saudara Ambo Asse Ajis dari Ikatan Ahli Arkeologi Indonesia (IAAI), melalui adat pemakaman masyarakat kuno, kita mampu menilai sosiologi, ekonomi dan peradaban ketika itu. Ini adalah keana mengikut adat pemakaman di Aceh ketika itu ada terdapat 8 faktor iaitu yang pertama, setiap pemakaman biasanya adalah sekeluarga. Keduanya batu nisan seorang tokoh akan diukir dengan nama dan ukiran yang indah. Ketiga, kawasan perkuburan biasanya terletak di tempat yang tinggi berbanding kawasan sekitarnya. Keempat, orientasi kubur adalah secara berderet timur – barat. Kelima, beberapa generasi akan ditanam ditempat yang sama. Keenam, tinggalan ceramic, china stone dan lain perhiasan (kebiasaanya ini menjadi buruan) mampu menunjukkan status ekonomi setempat. Ketujuh, perkuburan terletak berdekatan dengan laluan utama ketika itu seperti sungai dan kelapan, sekiranya terdapat lebih dari satu kawasan perkuburan, ini bermakna pernah wujudnya penempatan yang besar di kawasan tersebut.
Kaligrafi
Apabila bercakap tentang batu nisan Aceh, ianya tidak dapat lari dari seni kaligrafi khat. Semakin rumit dan semakin panjang kaligrafinya menunjukkan semakin penting kedudukan sosial seseorang itu. Ini kerana kerja memahat dan mengukir dilakukan oleh mereka yang pakar. Menurut Herwandi yang menulis tentang kaligrafi Islam pada makam-makam, hanya mereka yang berkedudukan sahaja mempunyai nama pada batu nesan mereka seperti Sultan beserta keluarga bangsawannya, pegawai kerajaan tertinggi seperti Laksamana serta keluarga, bentara serta keluarga dan teungku (gelaran kepada ulama), habib dan syuhada.
Jenis-jenis khat yang biasa digunakan adalah dari jenis Naskhi, Thuluth, Kufi, Figural dan Samar. Naskhi dan Kufi adalah yang paling banyak digunakan di Aceh. Manakala khat jenis Kufi paling banyak terdapat pada batu nesan Aceh di Perak. Kaligrafi selain daripada mengandungi nama simati, kebiasannya terdapat puisi sufi dan potongan-potongan ayat Al-Quran. Yang paling lazim adalah ucapan syahadah seperti Laillahaillalah dan Allah yang diukir secara berulang-ulang.
Seni kaligrafi pada nisan Aceh dipercayai sebagai sebuah media dakwah, seni, hiasan, memberi rasa hormat, identiti diri dan status sosial simati.
Kaligrafi pada batu nisan Aceh
Jenis-jenis (tipologi) Batu Nisan Aceh
Secara dasarnya ia boleh dibahagikan kepada 3 jenis utama iaitu pipih, blok dan bulat panjang (silinder). Ianya juga boleh dikelaskan mengikut zaman kesultanan iaitu Ali Mughayat Syah (kurun ke16). Jamalul Awal Badrul Munir (kurun ke 17 – 18) yg mempunyai pengaruh Bugis dan Mansur Syah (kurun ke 19).
Melalui pembacaan lain, terdapat lagi satu jenis nisan yang dipercayai dari zaman Kesultanan Perlak yang disebut Plakpling berbentuk seperti tiang atau menhir. Ianya mempunyai pengaruh hindu.
Saiz nisan dipercayai dipengaruhi oleh faktor kedudukan sosial dan umur si mati. Kanak-kanak kebiasaannya mempunyai size paling kecil.
Jantina simati tidak dapat dikenalpasti dengan hanya melihat pada bentuk nisannya. Menurut beberapa pengkaji barat sebelum ini, nisan pipih berbahu mempunyai bentuk seperti subang adalah milik seorang wanita. Tetapi apabila dilihat pada bentuk nisan Aceh diseluruh nusantara, terdapat beberapa nisan berbentuk begitu diletakkan di atas kubur-kubur tokoh berlainan jantina seperti nisan Sultan Muzaffar Syah yang berbentuk subang manakala nisan berbentuk 4 segi diletakkan di atas kubur Tok Temong.
Tipologi yang lebih intensif telah berjaya dilakukan oleh Dr Othman Yatim. Thesisnya tentang batu nisan Aceh di Malaysia yang bertajuk Batu Aceh : A study of 15th – 19th Century Islamic Gravestone in Peninsular Malaysia telah menjadi rujukan utama seluruh pengkaji batu nisan Aceh. Manakala buku yang terhasil dari thesis ini Batu Aceh : Islamic Gravestones in Peninsular Malaysia telah terjual sebanyak 7.8 juta naskah. Arkeologist dari Aceh dan Indonesia amnya banyak menggunakan buku beliau sebagai bahan rujukan. Othman Yatim telah membahagikan batu nisan ini kepada 14 jenis (type) iaitu A, B, C, D, E, F, G, H, I, J, K, L, M, N. Ianya dikenali sebagai Othman Type. Menurut Othman, Type A adalah digunakan sekitar tahun 1400. Type B – G sekitar 1500. Type H 1600. Type I – N adalah sekitar 1700 – 1800.
Othman Tipology
Othman Progression
Batu nisan Aceh di Malaysia majoritinya tiada nama dan hanya mengandungi kalimah syahadah dan Allah. Mengapa? Semua pakar arkeologi bersetuju bahawa batu nisan Aceh yang terdapat di Malaysia adalah diimport dari Aceh. Batu nisan yang diperbuat dari sandstone dan diukir pula oleh tukang yang mahir, sudah tentulah berharga agak tinggi dan ditambah pula perlu diimport. Pada pendapat saya hanya mereka yang berstatus sosial tinggi dan kaya mampu menaikkan batu nisan ini diperkuburan mereka.
Kenapa hanya Sultan yang ada nama? Kerana ianya ditempah khas bersesuaian dengan kedudukannya. Manakala bagi golongan lain yang mampu mereka hanya mengimport batu nisan yang telah siap. Kerana itulah ragam hias dan kaligrafinya adalah seragam. Kaligrafi Kufi adalah paling senang untuk dipahat kerana bentuknya yg bersegi dan lurus. Ianya merupakan satu komoditi. Rakyat biasa seperti kita? Batu sungai tak bertanda sudah cukup baik.
Batu Nisan Aceh di Perak
Kali ini saya hanya menulis sedikit tentang batu nisan aceh di Perak seperti yang ditulis oleh Dr Othman Yatim terutamanya yang telah saya lawati sendiri.
Menurut Othman, terdapat 23 pasang batu nisan Aceh yang terdiri dari Type C (8), Type D (3), Type E (4), Type F (1), Type H (1), Type K (1), Type M (1), Type N (1). Untuk mengetahui lebih lanjut lokasi tapak batu nisan ini bolehlah rujuk pada thesis/buku beliau.
Saya hanya menumpukan penceritaan pada tapak-tapak yang saya sendiri telah lihat dan lawati. Ada yang terdapat di dalam penulisan Othman dan ada juga yang tidak. Yang tiada di dalam penulisan beliau adalah makam/kubur yang ditunjukkan oleh penduduk tempatan.
Makam Laksamana Aceh di Kampung Pulau, Lambor Kiri, Perak
Pada 13 June 2020, saya berkesempatan bersama peminat sejarah yang terdiri daripada orang perseorangan dan NGO seperti OrangPerak.com menjejak semula makam Laksamana Aceh yang tidak bernama ini. Merujuk kepada gambar asal yang diambil oleh Othman sekitar tahun 80an, nisan ini telah pun dalam keadaan rosak. Nisan Panglima dan anak lelakinya yang berbentuk serupa tetapi berlainan saiz telah patah akibat ditimpa dahan pokok durian. Semasa lawatan itu beliau telah melakar kedudukan nisan tersebut. Menurut beliau terdapat 4 pasang nisan yang terdiri daripada 2 jenis iaitu Type H – 2 pasang, kepunyaan Laksaman dan anak lelakinya. Jenis yang kedua adalah Type C – 2 pasang, iaitu isteri dan anak perempuan beliau.
Batu nisan Laksamana Acheh yg diambil oleh Othman
Batu nisan anak dan isteri Laksamana yg diambil oleh Othman
Tetapi malangnya nisan keempat iaitu nisan anak perempuannya telah hilang semasa lawatan kami. Tidak diketahui apa yang terjadi kepada nisan beliau. Kami telah membersihkan kawasan pemakaman tersebut dan cuba memperbaiki kedudukan nisan Laksamana Aceh tersebut. Nisan ini dipercayai berusia lebih dari 400 tahun. Ianya dikatakan milik seorang Laksamana Aceh yang mati ketika peperangan Aceh -Perak pada tahun 1619 akibat penolakan peminangan dari Sultan Iskandar Muda terhadap puteri jelita Sultan Mukaddam Syah. Yang menjadi tanda tanya, apakah menjadi kebiasaan seorang berpangkat tinggi membawa ahli keluarganya semasa berperang?
Keadaan terbaru makam Laksamana Aceh setelah kami melakukan sedikit kerja pembersihan. Batu nisan anak perempuan Laksamana tidak dijumpai
Nisan Laksamana
Kerja pembersihan sedang dijalankan
Ketinggian nisan ini hampir mencecah bahu saya
Semoga ada dana dari pihak tertentu untuk membaik pulih makan
Kawasan makam ini terletak di atas tanah milik keluarga Malik bin Dolek yang kini dijaga oleh cucu beliau iaitu saudara Afieq Abdullah. Ketika melawat makam ini, secara kebetulan beliau yang menetap di Ampang telah datang melihat-lihat rumah milik datuknya itu. Semasa meletakkan motorsikal dihalaman rumah itu, beliau pun sampai. Saya menegurnya dan meminta izin meletakkan motor kami di situ. Dia dengan senang hati mengizinkan dan setelah tahu niat kami ke situ, dia telah menjamu kami dengan durian yang baru beliau kutip dan turut sama berkongsi cerita tentang Laksamana dan bergotong-royong mengemas semula makam itu.
Dari kiri Hud, saya, Wak Rahim, Sunan Al-Bugis, Anuar, Meor, Afieq, Fred dan Nazrin
Menurut cerita lisan dari orang tuanya, Laksamana tidak bernama ini telah mati kerana berbaring di atas daun Jelatang Gajah yang beracun. Ini amat berbeza dengan cerita yang dicatatkan oleh Othman dan rakan pengkaji lain. Atau apakah semasa berperang Laksamana ini telah tercedera dan kemudiannya diletakkan diatas daun tersebut dan mengakibatkan kematian beliau? Allahua’lam.
Selain itu saudara Nazrin Suhaimi juga telah menulis tentang lawatan ini. Sila klik pautan ini
Makam Tok Segor Aceh di Kampung Pasir Sena, Lambor Kanan, Perak
Pada hari yang sama, 13 Jun 2020, saya bersama rakan yang lain termasuk waris Tok Segor iaitu saudara Nazrin Suhaimi telah melawat kubur beliau. Batu nisan ini adalah dari Type G. Dalam thesis asal Othman beliau mungkin telah tersalah tulis sebagai Type C tetapi di dalam buku ianya telah diperbetulkan sebagai Type G.
Mengikut perhatian saya terdapat dua pasang lagi nisan yang menurut hemat saya dari Type C tetapi langsung tidak disebut oleh Othman. Apakah ianya diletakkan selepas kajian beliau?
Gambar yang diambil oleh Othman
Rupa terkini Nisan Tok Segor
Saya pun menghubungi saudara Nazrin untuk mendapatkan kepastian. Menurut beliau batu nisan ke2 dan ke3 itu adalah milik isteri dan anak perempuan Tok Segor dan telah ada sekian lamanya di situ. Semasa lawatan Othman sekitar lewat tahun 1970an, batu itu sudah ada. Tidak diketahui mengapa Othman tidak merekodkannya.
Nisan isteri dan anak perempuan Tok Segor
Sebenarnya saya sendiri pun tidak nampak nisan anak perempuan Tok Segor hingga tiada gambar yg fokus kepadanya
Makam Raja Beruas di Kampung Kota, Beruas, Perak
Pada 26 Mac 2014, saya dan suami (Wak Rahim) pernah berbasikal dari Sabak Bernam ke Beruas kononnya mahu melihat sendiri tempat yang pernah berdirinya sebuah kerajaan purba iaitu Gangga Negara dan Beruas.
Pada ketika itulah saya mula mengenali tentang wujudnya batu nisan Aceh di Kampung Kota, Beruas. Pertemuan kami dengan seorang lelaki bernama Pak Ariffin telah memberi peluang pada kami untuk melihat sendiri perkuburan ini yang terletak agak tersorok dari jalan utama. Saya telah mengambil beberapa gambar nisan yang kedudukannya agak berselerak. Keadaan makam juga tidak ditumbuhi semak samun dan terjaga atas usaha Pak Ariffin.
Selepas itu saya melupakan terus tentang nisan Aceh dan lebih berminat dengan batu nisan jenis Menhir (megalith) yang banyak bertaburan di sekitar Melaka dan Negeri Sembilan.
Apabila timbul minat tentang nisan Aceh, saya telah membuat lawatan ulangan pada 14 Jun 2020. Menurut Othman Yatim, terdapat 7 pasang nisan Aceh yang terdiri daripada 3 pasang Type B, 1 pasang Type D, 2 pasang Type E dan 1 pasang Type F.
Nisan Raja Beruas yang diambil oleh Othman
Lain-lain nisan yang berada di dalam makam
Rupa terkini nisan Raja Beruas. Type B
Type C. Kaligrafi syahadah jelas kelihatan
Type F
Type E
Type C
Kali ini makam telah berpagar cantik tapi malangnya telah ditutupi oleh tumbuhan semalu yang besar. Semasa saya membuka kain kuning dikepala nisan terbesar di situ, saya telah dihurung oleh lebah kelulut berkaki kuning yang bersarang disebalik kain tersebut. Nasib baiklah cuma kelulut, tak dapat bayangkan kalau lebah atau tebuan. Dengan menggunakan kayu dan sarung tangan, kami berusaha untuk menerangkan sedikit makam Raja Beruas. 3 lagi tapak tidak mampu kami bersihkan.
Semasa kali pertama kami kesini pada 2014
Keadaan terbaru diliputi pokok semalu
2014
2020
Menurut cerita lisan dari penduduk sekitar Beruas, “footstone” nisan Raja Beruas telah diambil oleh pihak British dan cuba dibawa keluar. Namun kapal gagal belayar kerana mendak dan akhirnya ianya dipulangkan semula dan kini diletakkan di Muzium Taiping. Saya merasa agak musykil bila mendapati kebanyakkan “footsone” yang hilang. Apakah ada sebab disebaliknya?
Semasa sedang membersihkan makam, kami telah disapa oleh seorang lelaki tua yang mengenalkan dirinya sebagai Pak Jan. Dari beliau kami telah diberitahu tentang wujudnya makam lain. Kedudukan makam tidak jauh. Othman tidak menyebut langsung tentang makam ini. Mungkin pada ketika itu masih belum ditemui. Menurut beliau ianya makam milik 2 adik beradik, lelaki dan perempuan sezaman dengan kerajaan Antah Berantah. Nama si abang adalah Marakarma. Akan saya ceritakan selanjutnya di bawah.
Pak Jan bersama Wak Rahim
Anuar, Hud dan wak berehat seketika
Saya telah mengikat semula kain kuning yg saya buka untuk mengambil gambar nisan Raja Beruas
Makam Marakarma (Makam Adik Beradik), Kampung Kota, Beruas
Ketika mendengar nama Marakarma saya menjadi sangat tertarik untuk mencari lebih banyak informasi tentangnya. Orang tempatan lebih mengenali nama makam ini sebagai Makam Adik Beradik. Terdapat dua buah makam yang dipagar elok. Satu makam mempunyai sepasang nisan Type D dan sepasang Type C. Kedua-duanya dalam keadaan yang agak baik.
Manakala sebuah lagi makam hanya mengandungi 1 kepala nisan (headstone) yang telah patah manakala kaki nisan (footstone) telah hilang dan digantikan dengan batu sungai biasa. Patahan lebih separuh menyebabkan saya gagal untuk mengenal pasti jenisnya. Nampak seolah-olah seperti Type G tetapi bersaiz agak kecil. Kalau kecil ada kemungkinan ianya adalah kubur anak kecil.
Nisan yang dipercayai kepunyaan Marakarma
Tidak pasti ianya milik isteri atau adik Marakarma
Makam pertama yang dipercayai makam Marakarma
Makam kedua hanya ada satu batu nisan yang telah rosak
Menurut Pak Jan,di belakang makam inilah terletaknya Kota Kerang yang dibina bagi mempertahankan Beruas dari serangan Kerajaan Antah Berantah. Sudah lama saya mencari kedudukan kota tersebut dan akhirnya mendapat petunjuk. Menurut ceritanya, kerajaan Kota Kerang, Kerajaan Antah Berantah berkedudukan selari dengan Pengkalan Baharu di Pantai Remis. Bila saya google kedudukan makam ini ianya memang selari dengan Pengkalan Baharu. Menurut beliau lagi Sultan Perak akan sesekali melawat makam ini sebab itulah makam ini terjaga agak rapi.
Siapa pula Marakarma? Menurut Pak Jan, Marakarma adalah seorang abang yang mati bersama adiknya akibat dari pergaduhan dengan seseorang yang berkehendakkan adiknya itu.
Tetapi pencarian di internet menemukan saya dengan sebuah hikayat yang bertajuk Hikayat Si-Miskin. Ianya ditulis dalam tulisan jawi lama sebanyak sebanyak 128 muka surat. Jenuh juga hendak memahami tulisan jawi lama ini. Didalam script itu ada disebut berulangkali nama Maharaja Marakarma/Marakaram. Rupanya R.O. Winstedt ada menulis tentang hikayat ini yang telah diterjemahkan dari sebuah naskah berbahasa Melayu di Singapura.
Di dalam hikayat ini ada menyebut tentang Antah Berantah, bota dan raksasa yang sangat sinonim dengan cerita rakyat Perak. Menurut hikayat tersebut, satu pasangan telah dibuang dari kayangan ke negeri Antah Berantah yang diperintah oleh Maharaja Indera Dewa. Mereka selalu dihalau dan dipukul sehinggalah suatu hari si isteri mengandung dan melahirkan seorang bayi lelaki yang diberikan nama Marakarma.
Tidak lama kemudian Si-miskin menemui setempayan emas dan menjadi kaya raya. Beliau telah membuka sebuah negeri dimana dia tinggal dan diberi nama Puspa Sari. Si-Miskin menukar namanya menjadi Maharaja Indera Angkasa dan isterinya Ratna Dewi. Tidak lama kemudian si isteri melahirkan pula anak perempuan dan diberi nama Nila Kesuma. Maharaja Indera Dewa merasa cemburu dengan kekayaan si Maharaja Indera Angkasa dan mengupah penilik nasib untuk menipu Maharaja Indera Angkasa bahawa kedua-dua anaknya itu pembawa sial. Maharaja itupun percaya lalu menghalau kedua anaknya tersebut.
Setelah mereka pergi, Puspa Sari teruk terbakar menyebabkan Maharaja Indera Angkasa jatuh miskin semula. Dipendekkan cerita, ketika anak-anaknya dalam perlarian terjadilah bermacam-macam cerita dimana mereka telah terpisah. Si Nila Kesuma terpisah dari Marakarma dan dijumpai oleh seorang Putera raja bernama Mangindra Sari dari negeri Pelinggam Cahaya dan ditukar namanya kepada Puteri Mayang Mengurai. Sebelum terpisah, Marakarma telah mempelajari ilmu kesaktian dari bota, raksaksa, jin, naga dan ular.
Dipendekkan cerita, akhirnya Marakarma bertemu semula dengan adiknya. Beliau berserta isterinya bernama Cahaya Khirani anak kepada Maharaja Malai yang beliau selamatkan dari seekor raksasa, kembali ke Antah Berantah dan Marakarma telah menyerang Maharaja Indera Dewa dan membunuhnya. Akhirnya Marakarma ditabal menjadi Raja Merchu Indra menggantikan Maharaja Malai.
Seni penulisan masyarakat Melayu sememangnya sarat dengan perlambangan, kias dan bayangan melampau. Kerana itulah banyak cerita dianggap sebagai hikayat atau dongeng. Menurut Eddin Khoo anak kepada Prof Khoo, hikayat Melayu perlu dibaca semula untuk dinilaikan cerita sejarah disebaliknya.
Apabila kita enggan merekod sesuatu cerita kerana menganggap ianya dongeng atas sebab kekurangan fakta sejarah, maka ianya akan hilang terus dari peradaban dunia Melayu. Contohnya Makam Raja Beruas dan Makam Adik Beradik ini. Artifak itu wujud, cuma tiada rekod sejarah, mengapa harus kita ketepikannya? Jika kita tak rekod, sampai bila-bila ianya tidak akan ada rekod.
Makam (tiada identiti dan tiada cerita lisan) di Kampung Kota, Beruas, Perak
Rentetan dari makam Adik Beradik, kami menemui sepasang batu nisan dihalaman rumah penduduk.
Menurut tuan rumah, kubur itu telah wujud sekian lama dan tiada siapa pun tahu asal usulnya. Kubur ini terletak sangat hampir dengan Makam Raja Beruas dan berada di belakang tanah perkuburan baru. Batu nisan tersebut adalah Type C dan sangat mirip ragam hiasnya dengan sebuah nisan di Lombok Timur, Nusa Tenggara.
Batu nisan Aceh yang terdapat dihalaman rumah penduduk
Tiada siapa yg tahu cerita tentangnya
Motif hiasannya sangat mirip dengan yg terdapat di Nusa Tenggara.
Saya akan cuba mencari lagi identiti kubur tersebut biarpun ianya hanyalah cerita lisan, dongeng mahupun hikayat.
Penutup
Sebenarnya ada dua lagi site yang berkaitan dengan batu nisan Aceh di Beruas yang kami belum sempat untuk jelajahi. Begitu juga makam-makam lain yang direkodkan oleh Othman Yatim di Perak. Dari masa kesemasa saya akan kemaskini blog ini apabila saya membuat lawatan seterusnya.
Terima kasih Hud dan Anuar kerana setia menemani
Terima kasih pada Wak Rahim, suami yg memahami
Penjelajahan kali ini kami menggunakan motorsikal untuk memudahkan pergerakkan.
Rujukan
Batu Acheh : Islamic Gravestones in Peninsular Malaysia, Dr. Othman Yatim
Thesis Batu Aceh : A Study of 15th – 19th Century Islamic Gravestones in Peninsular Malaysia, Othman Yatim
Batee Jirat, Rusdi Sufi
Arkeologi Islam Nusantara, Uka Tjandasasnita
The Formation of the Batu Aceh Tradition in 15th Century Samudera-Pasai, Elizabeth Lambourn
Metaformasa Nisan Aceh dari Masa ke Semasa, Replita Wahyu Oetomo, Balai Arkeologi Sumatera Utara
Kligrafi Islam oada Makam-makam Nangroe Aceh Darussalam : Telaah Sejarah Seni (Abad XIII – XVII M), Herwandi