23 Mac ~ 27 Mac 2014
Kayuhan ini meliputi perjalanan dari Pekan Sabak Bernam (rumah mertua) – Sabak Bernam – Segari – Beruas – Batu Gajah – Tapah – Sabak Bernam. Misi kayuhan adalah menjejaki kesan sejarah Gangga Negara yang kita pernah pelajari dari buku teks dan juga bacaan diinternet. Banyak yang kami temui namun masih ada tapak-tapak sejarah yang disebut didalam sejarah Gangga Negara gagal kami temui seperti Antah Berantah. Kebanyakkan penduduk yang terdiri dari generasi muda langsung tidak tahu dan tidak berminat untk ambil tahu mengenai sejarah nenek moyang mereka. Sejarah dan legendanya akan terkubur bersama-sama generasi lama.
Laluan ini juga meliputi bandar-bandar dan kampung lama. Kebanyakkannya tidak dipelihara mahupun dipulihara. Kampung dan bandar lama ini dulu pada satu ketikanya menjadi laluan utama sebelum wujudnya lebuhraya.
Hari Pertama
Perjalanan pertama pada hari itu meliputi jarak sejauh lebih kurang 120km melalui Tanjung Sari bagi menghadiri majlis perkahwinan anak kepada sepupu Wak. Setelah itu kami meneruskan perjalanan kedestinasi seterusnya iaitu Teluk Senangin. Perjalanan ini perlu menempuh Felcra Seberang Perak. Jalannya adalah lurus dan dikawasan terbuka tanpa tempat untuk berlindung langsung dari terik matahari. Kami melaluinya tepat jam 12 tengah hari. Terasa amat tertekan tapi kami berasa agak terhibur dengan gelagat pengguna jalan raya yang lain yang sentiasa membunyikan hon dan melambaikan tangan kepada kami tanda sokongan dan memberi semangat.
Cuaca pada ketika itu sangat panas. Saya dan Wak telah berhenti beberapa kali di gerai makan, perhentian bas, masjid bagi melepaskan lelah dan berlindung dari matahari.
Sempat juga kami singgah ke sebuah muzium iaitu Setiawan Settlement Muzeum yang terletak di pekan lama Setiawan di Kampung Koh tempat kelahiran Chin Peng, ketua Parti Komunis Malaya. Sayangnya kami tiba agak lewat iaitu 5.30 petang. Muzium telahpun ditutup. Kami hanya mengambil gambar diluar.

Crew drift sedang pantau situasi. Selagi ada yg menonton dari atas jambatan (kami lah tu) mereka tidak akan teruskan.
Sebelum sampai di Teluk Senangin, saya terlihat sebuah signboard disebelah kanan menunjukkan terdapatnya sebuah kawasan perkhemahan. Pada ketika itu jam telah menunjukkan hampir 6.30 petang. Saya mengambil keputusan untuk melihat tempat itu. Saya sudah lupa namanya. Agak jauh untuk sampai dengan jalan yang agak rolling. Sungguh mengecewakan apabila tuan punya chalet tersebut tidak membenarkan kami beekhemah disitu dengan pelbagai alasan. Melalui telefon saya merayu dan menerangkan padanya saya hanya berbasikal dan hari telah menjelang gelap. Agak sukar untuk kami berkayuh keluar semula untuk mencari penginapan. Sempat saya kata padanya “Sekiranya terjadi apa2 yang tidak elok kepada kami, kamu tanggunglah rasa bersalah sampai bila-bila dan saya akan pastikan akan war-warkan cara kamu melayani kami cyclist di facebook dan blog”.
Dengan hati yang sangat kesal, saya berkayuh keluar ke jalan utama ketika remang-remang senja. Dengan lampu keselamatan yang minima (kerana tidak menjangkakan untuk berkayuh hingga gelap), kami meneruskan perjalanan ke destinasi asal iaitu Teluk Senangin. Kami tiba dipersimpangan Teluk Senangin tepat pada waktu maghrib. Saya dan Wak berhenti seketika disini dan mula berfikir-fikir kerana Teluk Senangin terletak 11km kedalam dan kami dapati tiada lampu jalan dan keadaan adalah gelap gelita. Tiba-tiba ada sebuah kenderaan menghampiri kami dan pemandunya berkata kepada saya “Kamu tunggu disini, saya nak jumpa sekejap”. Bingung, kami perhati sahaja pemandu tersebut memberhentikan kereta, agak kelam kabut, habis semua tunggul dan busut dilanggarnya.
Rupa-rupanya beliau adalah tuan punya chalet yang tidak mengizinkan kami berkhemah tadi. Beliau telah bersungguh-sungguh meminta maaf kerana sangkanya dia kami adalah pelajar sekolah yang hanya akan menganggu guest lain. Sanggup dia mencari kami dalam gelap, saya pasti ugutan untuk menyebarkan layanan beliau di FB dan blog adalah berkesan. Saya lebih banyak diam dan angguk sahaja. Setelah yakin saya memaafkannya, beliau pergi meninggalkan kami tanpa menawarkan untuk menghantar kami ke Teluk Senangin sedangkan beliau memandu MPV dan mengakui punya chalet di Teluk Senangin. Terkebil-kebil, masih kehairanan, kami nekad untuk meneruskan kayuhan ke Teluk Senangin.
Ternyata jalan disini adalah gelap gelita. Hanya sesekali sahaja kami berselisih dengan kenderaan lain. Dalam hati saya tidak putus-putus berdoa agar tiada kejadian buruk menimpa kami dalam kegelapan ini. 11km terasa amat panjang. Sebaik sahaja nampak papan tanda Teluk Senagin 1 KM saya merasa amat lega. Mungkin kerana berhalunisasi, 1 km itu terasa amat jauh. Saya terasa seperti berkayuh dalam satu pusingan. Cepat-cepat saya beristighfar dan berdoa agar kami tidak diganggu. Tiba-tiba kami disuluhi oleh lampu kereta dari arah depan. Sebaik sahaja selepas itu, saya terus nampak pintu gerbang ke Teluk Senangin. Phewww! Lega rasanya.
Hanya terdapat sebuah keluarga yang bercamping dipantai tersebut pada malam itu. Kemudahan bilik air disediakan oleh peniaga-peniaga gerai yang tinggal disitu. Tanpa melengahkan masa, kami pilih tempat yang sesuai dan terus mendirikan khemah. Selepas membersihkan diri, saya pun mengeluarkan rantai kunci basikal untuk mengunci basikal kami. Sekali lagi saya berhalunisasi agaknya. Anak kunci langsung tidak boleh masuk! Apatah lagi membuka kunci tersebut. Padahal pernah saya guna sebelumnya tanpa masalah. Wak turut mencuba tapi gagal. Akhirnya malam itu Wak tidur-tidur ayam kerana bimbangkan basikal kami yang tidak berkunci. Saya seperti biasa, letak kepala terus zzzzzz tak kira hujan atau panas. (Untuk catatan, apabila balik ke rumah saya mencuba kunci ini. Hanya dengan sekali cuba, anak kunci terus masuk dan kunci terbuka dengan mudahnya…???). Mistik? Terpulang untuk anda menilainya.
Hari Kedua
Kami bangun awal, membersihakn diri, mengemas khemah dan menyediakan sarapan pagi sebelum meneeuskan perjalanan. Melalui kembali jalan yang kami lalui malam tadi, ternyata jalan ini agak ‘rolling’. Langsung tidak saya rasakan semalam. Tenyata deria lihat kita mampu mempengaruhi kekuatan dan keupayaan fizikal kita. Terdapa juga sebuah perkuburan lama dan jalannya agak mendaki. Tak terbayang saya kalau kena kejar hantu disitu hahahah.
Kami ingin melihat Sanctuary Penyu Segari yang terletak kira-kira 11 km dari jalan utama. Disepanjang jalan hati saya meronta-ronta melihat betapa banyaknya kawasan hutan simpan kekal yang telah digezetkan semula. Ada yang bakal menjadi kawasan perumahan dan ada juga yang telah menjadi ladang ternakan ayam moden yang saya kira terbesar di Malaysia. Ironiknya, masih terdapat papan tanda kuning menandakan status hutan simpan kekal, sedangkan dibelakangnya adalah reban ayam!

Rumah lama Melayu di Segari. Menurut makcik ini, rumah ini dwarisi dari ayahnya. Ianya dibina sebelum beliau dilahirkan. Usia beliau sekarang ialah 60 tahun.

Ladang ayam moden yg didirikan diatas Tanah hutan simpan kekal yang telah digazetkan semula menjadi Tanah pertanian
Selepas menghabiskan masa sekitar 1 jam disini, kami meneruskan perjalanan kami ke destinasi seterusnya iaitu Beruas.
Jarak untuk ke Beruas hanyalah 50 km. Tapi cukup memeritkan kerana cuaca yang sangat panas. Matahari mula terik seawal jam 10 pagi. Kami berhenti rehat dan makan tengah hari di Pantai Remis. Kami bertemu dengan pasangan cyclist dari Perancis yg telah meniggalkan segalanya untuk mengembara. Masing-masing berumur 50 tahun.

Mereks hanya berkayuh untuk beberapa jam sehari. Sebelum 12 tgh hari, mereka akan berhenti. Tak tahan dengan cuaca Malaysia katanya.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Pengkalan Sungai Baru dan berhenti dimasjid untuk bersembahyang dan berehat. Saya juga mengambil kesempatan untuk mencuci pakaian kami. Cuaca panas terik, sekejap sahaja semuanya kering. Wak sempat berbual degan orang tua disitu berkenaan sejarah ditempat itu. Menurutnya Pengkalan Sungai Baru ini adalah muara sungai yang agak sibuk pada suatu ketika dahulu. Ianya digunakan oleh orang-orang Acheh dari Sumatera untuk mudik ke hulu sehingga ke Kampung Kota di Beruas. Mereka juga ada menceritakan tentang lagenda buaya putih yang merupakan penjaga sungai itu. Baru sahaja Wak mahu memulakan topik Kerajaan Antah Berantah, pakcik tersebut terus meminta diri kerana perlu menghadiri sebuah kenduri. Sekiranya kami hendak tahu, tunggulah dia pulang semula ke masjid itu pada waktu asar! Kami tidak mungkin dapat menunggu selama itu.
Dengan berat hati, kami pun meneeuskan perjalanan ke Beruas. Cuaca panas memaksa kami berhenti sekali lagi berehat dikawasan ladang kelapa sawit. Walaupun jam sudah menunjukkan jam 4 petang, ‘mirage’ masih membentuk dipermukaan jalan. Kami sampai di Pekan Beruas sekitar jam 5 petang. Sebuah pekan kecil yang dahulunya merupakan pekan yang sibuk dan menjadi tempat persinggahan. Pekan itu seakan sebuah pekan mati dan banyak bangunan dideretan kedai ditinggal usang. Terdapat sebuah muzium iaitu Muzium Beruas disitu. Kami memutuskan untuk melawatnya esok.
Semasa merayau-rayau disekitar pekan kecil itu, saya telah disapa oleh seorang makcik. Katanya “Nak, maaf ya, makcik nak tanya ni. Anak buat semua ni ada siapa-siapa yang suruh ke? Ada dapat duit belanja ke?”. Dengan tersenyum saya balas “taklah makcik. Suka-suka jer saya sendiri buat dan semua keluar duit belanja sendiri”, “oooo…rajinnya lah…tak penat ke nak?”, “bohong kalau saya kata tak penat makcik”. Setelah bebual dan bertanyakan masjid berhampiran yang boleh kami bermalam, makcik tersebut meninggalkan kami. Terdapat masjid lama dan masjid baru di Pekan Beruas ini. Kami memutuskan u tuk bermalam di masjid baru kerana ianya terletak ditepi jalan utama.
Masjid tersebut mempunyai sebuah wakaf dan beranda masjidnya luas untuk tujuan iktikaf malah punya papan tanda doa iktikaf. Wak cuba mencari tok siak dikalangan jamaah namun gagal. Sementelah itu kami juga sibuk membuat persediaan untuk memasak makanan malam. Kanak-kanak disitu sangat teruja melihat kami dan sentiasa memerhatikan gerak geri kami. Ketika hendak memasak, kanak-kanak tersebut berkata “besar esok nak jadi macam ni lah!”. Saya harap apa yg kami lakukan ini memberi inspirasi dan impak yang positif bukan sebaliknya. Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata “eh! Yang masak lelaki lah, bukan yang perempuannya!”. Tergelak besar saya. Sememangnya bila berkelana sebegini, Wak yang akan memasak, kerana saya seorang yang sangat perlahan dalam urusan masak memasak. Sebaik mahu tidur, kami tiba-tiba dihampiri oleh seorang lelaki. Memperkenalkan dirinya sebagai Tok Siak, beliau kelihatan kurang senang dengan kami. Menurutnya, kami sepatutnya meminta kebenaran terlebih dahulu. Denga tegas meminta kad pengenalan kami dan mahu menyimpannya. Saya ingatkan beliau untuk datang awal esok paginya untuk memulangkan KP kami kerana kami akan bergerak awal. Teragak-agak, beliau lantas memulangkan KP kami tapi menurutnya, beliau akan mengunci pagar utama. Mungkin mengikut logik dia, kalau kami mencuri barang atau tabung masjid, kami tidak boleh keluar dari masjid itu….pfffttt…. Yang saya hairan, tidak pula dia minta kad nikah kami heheheh. Apa sajalah pakcik.
Hari Ketiga
Tidur malam kami kurang nyenyak kerana banyak nyamuk! Tok Siak sampai sekitar jam 5.30 pagi. Beliau terus singgah diwakaf kami dan seperti dengan sedikit perasaan segan meminta maaf dari kami diatas layanan beliau semalam. Mimpi apa tok siak ni agaknya malam tadi ya? Seorang jemaah juga telah menyumbangkan sedikit wang sebagai sedekah musafir kepada Wak.
Seawal jam 7 pagi kami meninggalkan masjid tersebut bagi meneruskan misi pencarian kami. Kami cuba mencari apa yang dikatakan sebagai tapak Gangga Negara. Clueless, kami membuat keputusan untuk ke Kampung Kota dahulu sebelum melawat Muzium Beruas. Melalui pencarian diinternet, saya terbaca mengenai wujudnya sebuah perkuburan lama disitu. Sebelum sampai kesitu, tiba-tiba saya nampak sebuah papan tanda berhampiran sebuah sungai. Ianya tertulis sebagai Sungai Beruas. Juga melalui pembacaan, Sg Beruas merupakan laluan dagangan dan pelabuhan yang sibuk pada zaman dahulu dan juga tempat bermulanya sebuah kerajaan yang dinamakan Gangga Negara. Keadaan sungai itu sekarang adalah kecil dan tandus. Hampir tidak percaya ianya mampu dimudik oleh tongkang-tongkang besar pedagang Cina.
Semasa sedang kami asyik mengambil gambar dan melihat-lihat sungai tersebut, Wak telah menegur seorang lelaki yg duduk berhampiran sungai itu. Wak bertanya pada beliau dimanakah terletaknya lokasi pelabuhan dan kerajaan Ganggan Negara (untuk rekod, tiada apa2 monumen hatta papan tanda sekali pun bagi menunjukkan dimana teeletaknya swbuan kerajaan yang gah disuatu masa dulu). Lelaki itu berkata, masuk lah ke lorong ini kerana terdapat sebuah sekolah yang bernama Sekolah Kebangsaan Gangga Negara. Beliau berkata disitulah menurut orang dulu-dulu merupakan pusat pemerintahan Gangga Negara dan tebing sungai disitu merupakan pelabuhannya. Setelah berterima kasih dengan beliau, kami terus memasuki lorong tersebut. Dihujung jalan, kami lihat terdapatnya sebuah sekolah yang dinamakan Gangga Negara. Hasil perbualan kami dengan pengawal keselamatan dan kakitangan sekolah disitu dapatlah kami simpulkan bahawa tapak sekolah tersebut dibina diatas tapak sebuah kuil dizaman Gangga Negara. Kami diberitahu dipadang sekolah ini masih terdapat kolam/paya yang telah wujud sejak zaman dahulu. Sekiranya berminat dengan sejarahnya, mereka menasihati kami untuk bertemu dengan Pengetua Sekolah. Sedang kami berlegar-legar dikawasan sekolah tersebut, Pengetua sekolah pun tiba dan tidak lama setelah datang seorang lelaki tua bermotorsikal tergesa-gesa masuk untuk bertemu dengan Pengetua. Menurut kakitangan sekolah ini, lelaki itu bernama Pak Pin atau Ariffin. Beliau adalah seorang penduduk tempatan yang terkenal di Beruas yang banyak tahu mengenai sejarah Beruas. Saya minta mereka maklumkan pada pengetua tentang hajat kami.
Sedang kami meninjau-ninjau kawasan paya dibelakang sekolah tersebut, Pengetuanya Wan Zakaria dan Pak Pin telah menghampiri kami. Kami rasa amat berbesar hati kerana pengetuanya sanggup datang menemui kami.

Jika tiada papan tanda kami mungkin terlepas pandang sungai ini. Sungai Beruas yg pada suatu ketika dulu sibuk dengan kapal-kapal pedagang.

Jalan kecil menuju ke Sekolah Kebangsaan Gangga. Terdapat banyak rumah-rumah lama. Terdapat juga kubur-kubur lama ditepi-tepi rumah yang penduduk disitu pun tidak tahu sejarahnya

Wak dipintu masuk Sekolah Kebangsaan Gangga. Dipecayai sekolah ini dibina Diatas tapak kuil dizaman empayar Gangga Negara.

Wak Bersama-sama dengan Pakcik Ariffin atau lebih dikenali sebagai Pak Pin (tengah) dan Wan Zakaria pengetua Sekolah Kebangsaan Gangga di padang sekolah.

Kolam yg terdapat ditepi padang sekolah tersebut yg dipercayai dimana dua puteri turun mandi berdendang

Kolam ini telah sebu tapi mereka mendakwa dua puteri masih turun mandi disini pada setiap bulan mengambang.
Menurut Pak Pin, Beruas dipercayai pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Gangga Negara dan nama asalnya adalah Belukar Sambang. Tempat ini telah disumpah (oleh siapa, tiada yang tahu) menjadi tanah yang tidak subur dan tiada tanaman yang dapat hidup kecuali sejenis pokok yang bernama Beruas. Pokok beruas tumbuh dengan suburnya sehingga tempat ini dikenali swbagai Beruas dan kekal hingga kehari ini. Pengetua Wan mendakwa dirinya adalah berketurunan Merong Mahawangsa dan Langkasuka. Banyak mengalami kejadian mistik semenjak dari muda. Beliau yang tidak mahu tunduk kepada kuasa mistik ini boleh berhubung dengan dunia mistik sekiranya mahu. Menurut beliau paya dibelakang sekolah ini dahulunya adalah tempat dimana dua puteri turun untu, mandi yang dipanggil sebagai ‘mandi berdendang’. Nama mereka adalah Puteri Candradewi dan Kenchana Dewi. Belia mendakwa boleh berhubung dengan merekasecara “menurun” dan berbual didalam bahasa sanskrit (beliau sebenarnya tidak boleh berbahasa sanskrit).
Beliau mendakwa telah dihubungi secara mistik oleh kedua puteri ini semasa baru berpindah ke sekolah itu. Puteri2 ini meminta Pengetuan Wan membersihkan kawasan paya yang telah ditimbuni oleh sampah sarap dan hampir kambus. Enggan tunduk, beliau menyergah dan berkata,”ini arahan atau minta tolong??”. Setelah si puteri mengalah mengatakan ianya adalah permintaan bukan arahan barulah Pengetua Wan bersetuju. Kami lihat ada khemah-khemah didirikan berdekatan kawasan ini. Menurut mereka, hari tersebut (khamis malam jumaat) adalah merupakan malam jumaat ketiga berturut-turuy mereka melakukan upacara “menarik barang”. Telah banyak pihak telah mencuba tetapi tidak berjaya. Barang yang dimaksudkan adalah artifak-artifak lama yang kebanyakkannya diperbuat dari emas. Tetapi tumpuan Pengetua Wan dan Pak Pin adalah bagi mengeluarkan batu bersurat yang boleh dijadikan bukti bahawa Beruas adalah tempat pertama di Tanah Melayu yang menerima kedatangan Islam.
Semasa berada dikawasan itu, saya berasa seperti pening kepala, telinga berdengung seperti berada ditempat tinggi dan bahu berasa berat. Saya lihat Wak sering kali seperti terpana. Saya rasa seperti ada mata-mata yang memerhati kami. Adakah saya berhalunisasi lagi?? Tiba-tiba Pengetua Wan berkata “takda apa, pengawal-pengawal dia tengok-tengok kita jer”. Yikes!
Menurut Pak Pin telah banyak artifak yang beliau temui baik secara mistik atau penggalian dan kini disimpan di Muzium Beruas. Beliau mengajak kami bersarapan pagi sebelum ke Muzium Beruas. Selepas muzium, beliau akan membawa kami melihat kubur lama di Kampung Kota. Di muzium, kami telah berjumpa dengan kakitangannya dan beliau mengakui bahawa boleh dikatakan keseluruhan artifak adalah hasil pencarian Pak Pin.

Wang tampang yang dijumpai ole Pak Pin. Sebahagiannya sekarang berada di muzium Taiping dan Singapura

Pokok Beruas adalah species pokok manggis hutan. Pak Pin menanan pokok ini disekeliling muzium supaya dapat dilihat oleh generasi akan datang.
Menurut Pak Pin masih banyak artifak dalam simpanan beliau termasuk emas. Beliau mendakwa agak serik dengan birokrasi pihak muzium negeri yang enggan mengeluarkan dana untuk membiayai kerja cari gali mencari artifak. Hasil penemuan beliau juga acap kali dibawa lari oleh pihak muzium negerii dan ada juga yg dijual dipasaran gelap dan muzium luar negara seperti wang tampang sebanyak sekarung guni yang telah beliau temui. Sebuah meriam besi lama juga yang telah beliau ‘tarik’ dari Pengkalan Sungai Baru telah dibawa lari dan kredit penemuannya adalah atas nama Muzium Taiping, bukan Beruas. Ini semua telah menyebabkan beliau serik dan enggan menyerahkan artifak melainkan mendapat surat jaminan dari Sultan yang artifak itu kekal di Muzium Beruas. Cerita-cerita beliau ini langsung tidak disangkal oleh kakitangan muzium itu sendiri.
Pak Pin adalah pencinta sejarah Beruas yang tulin. Tanpa bantuan kewangan, tanpa elaun memperjuankan sejarah Beruas. Beliau sedang berusaha mencari istana lama, kuil-kuil lama dan tapak tepat pusat pemerintahan Gangga Negara. Beliau sanggup membelanjakan wangnya sendiri bagi mencari artifak dan memulihara tapak-tapak sejarah. Rupa-rupanya tanah perkuburan lama yang terletak di Kampung Kota adalah hasil penemuan beliau. Untuk memulihara tempat itu, tiada bantuan yang beliau terima dari pihak muzium. Tiada pihak langsung yang berminat untuk mengkaji penemuan tersebut. Beliau juga telah ditawarkan sebuah rumah lama gadang melayu oleh waris orang kaya Beruas untuk dijadikan muzium. Harapan Pak Pin cuma satu, iaitu dapat membuktikan Beruas adalah tempat pertama datangnya Islam di Tanah Melayu ini. Beliau juga mahu artifak Beruas kekal di Beruas.
Beliau menjemput kami untuk menghadiri upacara “menarik” pada malam itu untuk merasai sendiri upacara mistik itu. “Kalau nasib baik, kamu pun boleh dapat”. Kami menolak dengan baik dengan alasan perlu segera kembali ke Sabak Bernam. Cukuplah perkara mistik yang telah saya lalui diseoanjang dua hari perjalanan kami ini!
Dengan menaiki motorsikal, Pak Pin membawa kami ke kawasan perkuburan lama. Sangat menarik kerana batu-batu nesan disini agak besar dan ada yang kelihatannya menandakan orang yang dikuburkan disitu adalah berketurunan bangsawan. Batu nesannya juga mempunyai tulisan Allah melambangkan simati adalah orang Islam. Ianya mempunyai ciri-ciri Acheh. Dipercayai ia adalah kepunyaan kerabat diraja dari Acheh dan merupakan Raja Melayu Hindu yang pertama memeluk Islam pada tahun 1267. Sayang tiada usaha dilakukan oleh pihak muzium atau pengkaji sejarah untuk menjalankan kajian lanjut. Sekiranya ianya kesan peninggalan penjajah, saya pasti akan segera dikaji dan dipulihara! Apakah ada sesuatu yang ingin disorokkan dan disapu dibawah carpet atau tiada peruntukan langsung dari kerjaan negeri mahu pun pusat?

Kampung Kota, terdapat dua tapak perkuburan lama disini. Kami hanya sempat pergi satu lokasi sahaja. Kami ditemani oleh Pak Pin.

Kawasan ink agak luas. Pak Pin terpaksa mengeluarkan belanja sendiri bagi memelihara kawasan ini. Tiada peruntukan dari pihak yang terabit.

Pak Pin seorang pencinta sejarah Beruas. Untuk mencari beliau, pergi sahaja ke Muzium Beruas atau sebut sahaja nama beliau di pekan.
Melihat pada artifak-artifak, saya yakin Gangga Negara ini dibentuk oleh sebuah kerajaan Melayu Hindu sebelum didatangi Islam. Perdagangan pesat dilakukan dengan negara-negara seperti India dan Cina. Ianya sebuah tamadun terawal di Aisa Tenggara dan dipercayai wujud sejak kurun ke2 hingga 11 meliputi Beruas, Dinding dan Manjung. Ianya ada diceritakan didalam hasil karya Tun Sri Lanagh bertajuk Sulalatus Salatin. Apakah yang mahu disembunyikan? Kenapa Gangga Negara yang gah dan disebut-sebut didalam banyak teks sejarah luar seakan mahu dilupakan terus dari lipatan sejarah negara? Tiada apa yang hendak ditunjukkan kepada generasi akan datang akan Gangga Negara. Tiada tapak arkeologi mahupun papan tanda. Muzium Beruas sangat kecil sehingga tidak mamu menampung artifak-artifak yang ditemui. Sekiranya tiad usaha dari pihak yang terbabit untuk terus mengkaji dan bekerjasama dengan penduduk tempatan seperti Pak Pin akhirnya sejarah ini hanya menjadi seakan-akan mitos yang disampaikan dari satu generasi ke satu generasi dan akhirnya lenyap.
Setelah mengucapkan terima kasih kepada Pak Pin dan berjanji akan menziarahi beliau lagi, kami pun meneruskan kayuhan menuju ke destinasi seterusnya kami iaitu Batu Gajah. Misi kami di Beruas selesai hampir jam 11 pagi. Matahari sudah pun terik dan ini telah memperlahankan kayuhan kami. Ianya memaksa kami berteduh disebuan masjid dari jam 1.30 hingga 3 petang. Menyedari kami masih punya baki sejauh 20km untuk sampai ke Batu Gajah telah menyebabkan kami berkayuh tanpa henti dengan kelajuan purata 25km/jam.

Saya sangat kagum melihat rumah besar ini! Sarat dengan ukiran. Sayang terbiar. Harap ada yg sudi memberi bantuan kepada Pak Pin untuk mengubahsuainya menjadi muzium.
Sebaik tiba di Batu Gajah, cuaca menjadi gelap menadakan hujan akan turun. Jam menunjukkan pukul 6 petang tapi kami nekad untuk sampai ke Kelly Castle dan berharap ianya masih dibuka. Ternyata ianya telah ditutup dari menerima kunjungan. Berbeza dengan nasib tapak sejarah Melayu lama, istana Melayu lama, rumah Melayu lama, Kelly Castle dijaga sangat rapi oleh sebuah syarikat swasta. Sepatutnya kita lebih ghairah memelihara kesan sejarah Tanah Melayu atau Semenanjung Emas biarpun ianya kerajaan Hindu, bukan Islam. Sememangnya bangsa Melayu ini asalnya beragama Hindu sebelum kedatangan pedagang Arab. Enough of my ranting!
Malam itu kami bermalam dirumah anak saudara Wak yang tinggal di Batu Gajah. Malam itu kami tidur dengan nyenyaknya diatas tilam empuk didalam bilik yang berhawa dingin. Alhamdulillah. 45km kayuhan pada hari tersebut dirasakan sangat jauh dan panjang.
Hari Keempat
Kami meninggalkan rumah anak saudara Wak seawal jam 7 pagi. Menyedari musim panas sedang melanda negara kita, kami perlu bergerak seawalnya dan kayuh sejauh mungkin sebelum matahari mula membahang. Destinasi yang menjadi target kami pada kali ini ialah Muzium Kapal Korek yang sememangnya didalam laluan kami untuk ke Tapah iaitu di Tanjung Tualang, Larut. Ianya merupakan salah satu dari 40 buah kapal korek yang beroperasi dikawasan ini pada suatu ketika dulu. Hanya kapal korek ini sahaja yang tinggal sebagai bukti kesan sejarah dan selebihnya sudah dijual. Kapal korek ini merupakan buatan dan peninggalan British dan semasa ianya beroperasi, seramai 40 hingga 60 pekeeja diperlukan. Kapal korek ini dikenali sebagai model TT5 dan dibina pada tahun 1938Kami dibenarkan untuk membawa basikal mengelilingi kapal korek ini. Kami menghabiskan masa selama sejam lebih dimuzium ini. Sangat menarik dan sedikit fee dikenakan kepada pengunjung kerana ianya milik sebuah syarikat swasta iaitu Syarikat Tin Dredge Heritage.

Kapala ini agaknya tak suka saya mengganggu locker beliau. Tab saya gagal berfungsi. Setelah mencuba kali keempat barulah saya dapat ambil gambar ini.
Untuk sampai ke Tapah kami telah melalui beberapa pekan lama seperti Parit dan Temoh. Banyak bangunan-bangunan kedai lama dipekan-pekan ini yang menarik perhatian kami. Dengan terbinanya lebuh raya, pekan-pekan ini sudah tidak menjadi tempat laluan dan persinggahan. Penghuninya pun terdiri dari orang-orang tua. Suram dan sehingga mendapat jolokan ‘ghost town’.

Jalan baru dari Kampar ke Tapah ini melalui kawasan beaks lombong. Pada waktu tengahari, panasnya tak terkira

Saya tidak melepaskan peluang mengambil gambar. Kedai2 disini kebanyakkannya dihiasai dengan kepingan jubin berbunga.

Menurut orang tua, nama asalnya ialah Timah. Tapi apabila disebut mengikut telor orang Perak, jadi Timoh dan akhirnya dieja sebagai Temoh
Kami sampai di Tapah sekitar jam 5 petang dan memutuskan untuk mencari hotel. Saya adalah seorang yang bekerja dari rumah yang mana memerlukan saya sentiasa dapat dihubungi oleh majikan saya setiap masa melalui applikasi Whatsapp dan email. Pada hari tersebut saya telah menerima email dari majikan saya untuk melakukan sedikit tugasan. Ini bermakna saya perlikan bekalan elektrik dan internet secara berterusan. Kami check-in di Hotel Timuran. Dengan harga RM50/malam, kami dapat menikmati bilik berhawa dingin, air panas dan internet. Biliknya juga sangat besar. Hiasan dan perabotnya agak ‘old skool’.

Hotel Timuran. Bilik terletak ditingkat atas. Terpaksalah Wak pikul basikal kebilik. Murah, cuma RM50/mlm. Bilik yg besar, Ada TV, aircond dan hot shower. Saya kasik 4 bintang!
Kebetulan pula, Azizan Zolkipli sahabat berbasikal yang sangat rapat dengan kami ada dipekan tersebut kerana bertugas. Kami keluar makan malam bersama beliau pada malam tersebut. Jarak kayuhan pada hari tersebut ialah 54km
Hari Kelima
Baki jarak kayuhan hanyalah 76km. Pagi itu kami keluar lambat sedikit dan terus bersarapan di sebuah kedai makan melayu yang menjual masakan cina yang terletak di hentian bas Tapah. Ianya dicadangkan oleh rakan basikal yang berasal dari Batang Padang. Ternyata ia adalah mee kicap tersedap yang saya pernah rasa!
Kayuhan diteruskan melalui kampung-kampung lama seperti Tapah Road dan Chikus. Di Tapah Road kami semoat singgah di stesen keretapinya. Disitu masih terdapat kesan-kesan bangunan stesen keretapi lama. Juga terdapat sebuah pekan lama disitu. Suasana disepanjanh laluan ini adalah agak redup dimana kiri kanan jalan adalah diliputi pohon-pohon buah seperti mangga, manggis dan durian. Pada ketika itu ianya adalah musim bunga, maka sepanjang laluan adalah berbau harum. Sepanjang kayuhan saya tersenyum dan bernyanyi riang.
Kami sampak di Teluk Intan agak awal. Perancangan asalnya ialah untuk bermalam disitu. Tetapi memandangkan masa masih awal dan kami telah kerap berkayuh dan tidur di Teluk Intan, kami memutuskan untuk berkayuh pulang ke Sabak Bernam. Tiba dirumah mertua tepat jam 3 petang. Saya berasa amat berpuas hati dengan kayuhan kali ini. Walaupun jarak cuma 34okm++, tapi ianya padat dengan penemuan dan pengalaman. Saya amat berharap untuk dapat mengeksplorasi Perak lagi dan menjejaki warisan bangsa yang semakin dilupakan. Segala pengalaman mistik yg kami lalui terpulanglah kepada anda untuk menilai. Saya sebenarnya adalah orang yang paling akhir percaya kepada perkara mistik kerana saya hanya percaya kepada sesuatu yang logic. Wallahua’lam.
