Kelok 44 – Danau Maninjau – Lubuk Basong – Pariaman (110km)
Setelah siap bersarapan pagi, dalam hujan gerimis, kami meneruskan perjalanan. Menuruni Kelok 44 dalam keadaan jalan basah bercampur minyak diesel, adalah detik yang agak mencemaskan. Kami terpaksa menuruninya dengan perlahan-lahan. Tangan menjadi krem menekan brake dan dalam hati tak putus-putus berdoa agar tiada perkara buruk berlaku seperti brake putus dan sebagainya.

Dalam beberapa minit sahaja, pemandangan di sini akan bertukar2

Damai

Group photo dihadapan warung Pak Nemon di Kelok 23

Abg Syaaban mengambil selekoh di Kelok 15

Danau Maninjau dari Kelok… errr.. berapa ntah tak ingat
Sepatutnya perjalanan hari ini adalah sehingga ke Padang iaitu kira-kira 140km. Tapi kami memutuskan untuk pergi melawat Rumah Buya Hamka walaupun tidak pasti jarak sebenar dari simpang jalan utama ke rumah penulis, aktivis dan ahli ugama yang terkenal itu. Untuk ke rumah beliau kami perlu pergi ke arah kiri sedangkan untuk ke Lubuk Basong, kami perlu ke kanan. Jalan utama disini adalah mengelilingi tasik dan berada betul-betul hampir dengan tasik. Pemandangan indah tidak jemu mata memandang. Aktiviti penduduk dipagi hari dapat dilihat sepanjang jalan. Sebenarnya rumah Buya Hamka terletak kira-kira 10km dari simpang utama itu. Sesampainya kami disana, kami merasa amat kecewa kerana penjaga rumah itu tidak ada. Kami hanya dapat mengambil gambar dari luar sahaja. Terpaksalah kami menginggalkan Maninjao dengan sedikit rasa kecewa.
Kami berpatah balik sejauh 10 km menuju Lubuk Basong. Ianya merupakan kawasan yang terletak betul-betul dilembah belahan kawah gunung berapi ini. Seperti Danau Toba, Danau Maninjao terhasil kesan dari letusan gunung berapi. Kebiasaannya tasik sebegini kita perlu mendaki naik untuk masuk dan keluar dari kawah. Tetapi Danau Maninjao punya belahan untuk membolehkan kita tidak mendaki untuk keluar dari kawah. Satu turunan curam perlu dilalui, saya hampir-hampir terjatuh kebawah gaung akibat terlalu leka melihat sebuah jeram deras disitu! Kami sebenarnya berkayuh dengan amat perlahan dan kerap berhenti untuk mengambil gambar. Sepatutnya kami akan sampai di Pariaman pada waktu makan tengah hari, tapi sebaliknya kami masih lagi berada di Lubuk Basong yang terletak sejuah 50km dari Pariaman. Oleh yang demikian kami telah membuat keputusan untuk hanya berkayuh sehingga ke Pariaman dan maklumkan kepada Afif.

biji kopi

Sebuah lagi pasar pagi terletak berhampiran masjid

Balai adat yang terletak dipasar tersebut

kebanyakan masjid disini dibina diatas tasik termasuk masjid ini yang dibina pada tahun 1907

Perjalanan menuju ke rumah Buya Hamka agak mencabar

Untuk tanjakan ini, saya terpaksa menolak! terlalu menegak

Tapi malangnya, penjaga museum tiada. Kami tak dapat masuk ke dalam :(

Sepanjang jalan dipenuhi deretan pokok kekabu yang besar

Jalan ini mengelilingi Danau Maninjau yg mempunyai kelebaran 7km dan panjang 16km. Terletak kira-kira 459m dari paras laut

Sejenis kerangan air tawar. Ditumis dengan leeks. Sedap dan cuma berharga IDR6,000

Sebuah lagi masjid diatas air

Ikan darat hasil dari tasik ini juga dijadikan ikan kering. Benih-benih ikan juga banyak terhasil di tasik ini dan dijual keluar

Baju jersey kami ditaja sebhagiannya oleh Vidi GM Klang. TQ :)

Jalan-jalan konkrit kecil dicelah2 sawah menuju ke tasik

tak tahulah apa yg Wak ceritakan pada si Pink tu

Sekumpulan petani ini berhenti rehat untuk makan tengah hari

Petani ini mengingatkan Wak kepada arwah bapanya

Topi unik masyarakat petani Danau Maninjau

Kami singgah ke kenduri kahwin ini tanpa dijemput. Kami ingin melihat lebih dekat dengan budaya yang mirip dengan budaya kita. Kami dijemput makan, tapi menolak kerana tidak cukup waktu

Pengantin lelaki.

Pengantin perempuan. Tidak berpakian tradisional

mengamalkan gotong royong

Sedang sibuk menyediakan bahan-bahan untuk dimasak

Lubuk Basung. Turunan yang mengujakan

Leka melihat jeram ini, saya hampir terbabas!
Kami tiba di Pariaman agak lewat dan berpusing-pusing mencari penginapan yang sesuai. Saya merasa agak terkejut kerana sebuah pecan kecil seperti Pariaman mempunya kadar hotel yang agak mahal. Rata-ratanya IDR170,000 keatas. Kami bernasib baik kerana bertemu dengan seorang pesikal tempatan. Beliau sudi membawa kami untuk mencari tempat penginapan. Akhirnya beliau bawa kami kesebuah losmen (hostel) di Kampung Cina bernama SURIA. Kadar sewanya semalam adalah IDR100,000. Tanpa aircon maupun kipas. Agak panas kerana Pariaman berada hampir dengan pantai.
Malam itu kami telah berbual dengan tuan punya losmen Pak Suardi, seorang pesara kerajaan yang pernah bekerja di bahagian pelancongan. Darinya kami dapat tahu serba sedikit mengenai sejarah losmen Suria, Kampung Cina dan Pariaman khasnya. Dahulunya terdapat sebuah perkampungan cina di Pariaman ini yang dinamakan sebagai Kampung Cina. Pada zaman pendudukan Jepun pada tahun 1942 – 1945, penduduk Melayu telah menghalau keluar penduduk berbangsa Cina dari Pariaman. Mereka percaya ada bangsa Cina telah mengkhianati mereka ketika mereka merancang untuk menyerbu gudang senjata milik tentera Jepun. Rentetan dari peristiwa itu, mereka telah menghalau keluar semua penduduk Cina dan sehingga sekarang, tiada satu pun bangsa Cina berani menjejakkan kaki ke Pariaman.
Manakala nama SURIA pula adalah singkatan kepada Sekolah Untuk Rakyat Indonesia & Asia. Pada zaman pemerintahan Belanda, keperluan asasi seperti sekolah tidak disediakan untuk rakyat. Oleh yang demikian sekolah-sekolah yang diwujudkan adalah merupakan sekolah persendirian. SURIA adalah salah sebuah daripadanya. Dibina pada tahun 1900 oleh penduduk Cina. Semasa mereka melarikan diri, rumah ini telah dibeli oleh datuk kepada Pak Suardi untuk dijadikan sebagai sekolah persendirian yang diberi nama SURIA. Selepas Indonesia merdeka pada tahun 1945 dan pendidikan diberikan secara percuma kepada semua rakyat Indonesia, SURIA telah ditukar menjadi sebuah losmen hingga kehari ini. Menarik bukan sejarah sebuah pekan kecil ini?
Disebabkan tiada kipas dan keadaan dalam bilik yang agak panas, Abang Syaaban mengambil keputusan untuk memasang khemah dan meletakkannya dianjung losmen. Semasa hamper siap memasang khemah, tiba-tiba kedengaran satu suara yang agak keras dari luar losmen, “Apa itu?” Seorang lelaki tua melaung dari seberang jalan. Dia kemudiannya menghampiri kami dan mengulang soalan yang sama dengan muka yang serius. Pada fikiran kami, mungkin mereka tersinggung kami memasang khemah di kawasan losmen tersebut. “Kami saja mau mencuba-cuba memasang tenda ini” balas Abang Syaaban. “Apa itu?” ulangnya lagi. Abang Syaaban menerangkan lagi “Tenda untuk tidur” “Apa? Untuk tidur? Ini tenda? Aku fikir belon”. Saya seperti mahu ketawa berguling-guling mendengar kata-katanya! Tapi kami tidak berani memandangkan muka beliau masih serius. Rupa-rupanya dia adalah jiran Pak Suardi. Berumur lewat 60-an dan telah menetap dikawasan itu semenjak kanak-kanak lagi. Lama juga kami berbual-bual dengan beliau.
Tidur saya kurang nyenyak. Bunyi radio yang kuat datang dari rumah Pak Suardi yang terletak bersebelahan dengan losmen dan betul2 berada disebelah bilik saya. Hanya apabila tiba menjelang subuh barulah radio dimatikan. Itu pun kemudiannya disambung pula dengan bacaan Al-Quran dari surau-surau dan masjid-masjid yang berdekatan. Bacaan diperdengarkan dengan kuat dan bertingkah-tingkah. Masjid dan surau adalah terletak berdekatan antara satu sama lain. Sepanjang perjalanan ke Pariaman, ada saya ternampak 2 buah masjid besar terletak amat berdekatan dan hanya dipisahkan oleh singai. Saya kira tak lebih dari 500m jaraknya. Bila kami tanyakan pada penduduk tempatan, mereka katakan setiap masjid dibina bukan berdasarkan qariah tetapi mengikut suku. Rata-rata masjid dibina hasil dari sumbangan suku-suku mereka dan juga sumbangan yang dipungut ditepi jalan dengan cara menghulurkan tangguk ke setiap kenderaan yang lalu.

Monument Siti Manggopoh (1880 – 1965) terletak di Lubuk Basung. Seorang tokoh pejuang menentang pemerintahan Belanda sehingga tercetusnya Perang Belasting. Membingungkan pihak Belanda sehingga digelar “Singa Betina”

Pelbagai aktiviti masyarakat tempatan dapat dilihat di sungai ini

Akhirnya kami tiba di Kota Pariaman

Mereka menunjukkan kami tempat penginapan yang berdekatan

Abang ini telah membantu kami mencari penginapan yang murah. Akhirnya dia membawa kami ke Suria Losmen. Dia seorang anggota polis

SURIA – atau nama asalnya Sekolah Untuk Rakyat Indonesia dan Asia, sebuah private school semasa zaman pemerintahan Belanda

Suria pada asalnya sebuah rumah orang cina yang dibina pada awal tahun 1900an. Sebelahnya adalah rumah Pak Suardi

Pak Saurdi berusia lewat 70an. Seorang pesara kerajaan
Semua gambar adalah sumbangan dan kredit kepada King, Pink dan Wak
Baca selanjutnya dengan mengklik pautan dibawah:-
8 Disember 2013 ~ Ahad (Hari Kedua) : Lubok Bangku – Lembah Harau
9 Disember 2013 ~ Isnin (Hari Ketiga) : Lembah Harau – Payakumbuh – Bukittinggi
10 Disember 2013 ~ Selasa (Hari Keempat) : Bukittinggi – Kelok 44
11 Disember 2013 ~ Rabu (Hari Kelima) : Kelok 44 – Danau Maninjau – Lubuk Basong – Pariaman
12 Disember 2013 ~ Khamis (Hari Keenam) : Pariaman – Padang
13 Disember 2013 ~ Jumaat (Hari Ketujuh) : Padang – Solok – Danau Singkarak – Lembah Harau
14 Disember 2013 ~ Sabtu (Hari Kelapan) : Lembah Harau – Kelok 9 – Lembah Harau
15 Disember 2013 ~ Ahad (Hari Kesembilan) : Lembah Harau – Payakumbuh – Dumai
16 Disember 2013 ~ Isnin (Hari Kesepuluh) : Dumai – Terminal Penumpang Pelabuhan Selatan
