Lubuk Bangku – Lembah Harau (23km)
Kami tiba di Lubuk Bangku (perhentian kedua bagi bas ini yang akan terus ke Bukittinggi) pada jam 5.00 pagi. Perhentian ini lengkap dengan tandas, bilik mandi dan surau. Setelah mandi dan bersolat kami terus bersarapan disitu sementara menanti hari cerah. Cuaca sangat sejuk dan hujan turun renyai-renyai. Menurut penduduk tempatan hujan turun sepanjang hari semenjak 2 minggu yang lalu. Kabus tebal meliputi kawasan itu dan saya pasti pemandangannya pasti mengagumkan!

Berkabus dan sejuk!
Memandangkan hujan tidak akan berhenti, kami terus berkayuh didalam hujan gerimis menuju ke Lembah Harau. Ia merupakan semua “Nature Reserve” yang dipelihara kerana kejadian dinding batunya yang besar dan juga air terjun. Sepanjang perjalanan kami dijamu dengan pemandangan sawah padi dikiri kanan jalan. Kami mengayuh dengan sangat perlahan dan berhenti beberapa kali untuk mengambil gambar. Setelah mengayuh hampir 20km, kami tiba ke simpang utama memasuki Lembah Harau. Sebaik sahaja kami memasuki kawasan lembah, kami merasa amat kagum dengan keindahan pemandangan yang dihiasi dengan sawah padi, dinding batu, air terjun dan kabut tebal. Kami seolah-olah berada di dalam poskad!
Terdapat 3 air terjun utama di Lembah Harau. 1 terletak di sebelah kiri lembah dan lagi 2 terletak bersebelahan di sebelah kanan lembah. Memandangkan waktu masih awal, kami terus menuju ke air terjun yang pertama. Lagi sekali kami terpukau dengan kehebatan air terjun tersebut. Didalam musim hujan, air terjun tersebut menjadi besar dan deras. Hanya melalui disebelahnya sahaja sudah menyebabkan kami basah kuyup. Kami juga telah memanjat “view point” untuk melihat Lembah Harau dari atas.

Bumbung rumah minang yang unik

Balai adat, setiap nagari (kampung) ada sebuah. Fungsi seperti balai raya ditempat kita

Tersergam indah diatas bukit. Pejabat kerajaan rasanya. Tak daya pula rasanya nak kayuh untuk melawat

excitement over limit dah masa ni

kanak-kanak berbasikal

they are everywhere!

Sebuah restoran esklusif di kawasan ini

Salah satu air terjun di Harau

Salah satu kawasan tercantik di Harau lebih-lebih lagi sekiranya padi menghijau atau menguning

Impressive waterfall. Lalu tepi pasti basah

Group foto – basah lencun

Mendaki view point
Tempat ini tidak begitu dikenali oleh pelancong luar dan hanya popular di kalangan pelancong tempatan. Saya sememangnya lebih suka mencari tempat sebegini yang lebih asli dan terlindung dari segala bentuk pencemaran (termasuklah pencemaran budaya). Melalui bacaan saya di internet, saya dapati ada sebuah “homestay” mendapat reviu yang tinggi dari pelancong barat iaitu Abdi Homestay. Saya telah membuat keputusan untuk mencari dan menginap di homestay ini.
Setelah bertanyakan kepada orang tempatan, kami tiba di Abdi Homestay sekitar jam 2 petang. Kami disambut oleh pembantu homestay tersebut iaitu Yoga. Setelah berbincang dengan tuan punya homestay iaitu saudara Ikbal, beliau telah bersetuju memberikan kami sebuah chalet 2 tingkat dengan harga IDR200,000 untuk satu malam. Sangat berpatutan ditambah pula kami dibenarkan menggunakan dapur (yg bersambung dengan chalet) untuk memasak. Cuaca amat sejuk, aircond mahupun kipas adalah tidak diperlukan. Sumber air semuanya adalah dari air terjun yang terdapat dibelakang homestay ini. Ikbal boleh dihubungi di nombor +6285263781842. Homestay ini diuruskan oleh beliau bersama isterinya, Nonie. Mereka pasangan yang amat baik dan menguruskan homestay itu dengan baik.

Penduduk kampung sedang mengadakan kenduri

ok, a bit rough surface with gravels. Botol air mineral jatuh masa ni

Abdi Homestay run by Ikbal and Nonie

A chat with an Endlishman while waiting for our room

Basikal Wak, Gary Fischer berlatar belakangkan air terjun
Seperti biasa, Chef Wak akan memasak untuk kami. Setelah makan dan berehat, kami keluar bersiar-siar disekitar Lembah Harau. Kami telah pergi ke air terjun yang terletak disebelah kanan lembah. Perjalanan kesana menyajikan kami pemandangan kampung yang sangat indah. 2 buah air terjun tersebut adalah besar dan amat deras. Banyak peniaga membina bangunan disekitar air terjun menghalang dan mencacatkan pemandangan. Patutlah seorang pelancong Russia yang saya temui di Abdi Homestay kata, “it’s looks more like a market, not nice”. Tapi memang banyak juga aktiviti dilakukan oleh orang tempatan seperti menjual makanan ringan, menyewakan pelampung dan juga menjadi tempat berkumpul sebuah komuniti pencinta amfibia dan reptilia yang dikenali sebagai “Payakumbuh Amfibi & Reptil Komunitas – PARK”. Mereka mempamerkan haiwan-haiwan peliharaan mereka seperti ular sawa, iguana, monyet dan lain-lain. Apabila saya banyak bertanya termasuk keperluan lesen, mereka mula menjauhi saya mungkin bimbang saya dari jabatan kerajaan tertentu.

Salah satu tarikan di Harau
Dalam perjalanan pulang kami telah disapa oleh seseorang yang mencari “Pakcik Raja”! Panggilan pakcik disana tidak merujuk kepada faktor umur tapi lebih kepada sebutan hormat kepada orang Malaysia. Rupanya dia adalah Pak Desrino Hassan merupakan kawan kepada King yang beliau kenali dari FB. Beliau telah sudi dating dari Payakumbuh untuk berjumpa dengan kumpulan kami. Beliau telah mengikut kami pulang ke homestay dan berbual-bual hingg lewat petang. Beliau juga telah menjemput kami untuk menghadiri jamboree anjuran kelab beliau iaitu Payakumbuh Sepeda Nanjax (PSN) pada 15 Disember 2014. Bergantung kepada progress perjalanan, kami tidak dapat berjanji untuk menghadirinya.
Malam itu kami semua tidur awal didodoi dengan bunyian air terjun dan bunyi cengkerik dan kodok. Satu bunyi yang amat indah dan mendamaikan. Terasa begitu sayang untuk meninggalkan Lembah Harau terlalu cepat.
Semua gambar adalah sumbangan dan kredit kepada King, Pink dan Wak
Baca selanjutnya dengan mengklik pautan dibawah:-
8 Disember 2013 ~ Ahad (Hari Kedua) : Lubok Bangku – Lembah Harau
9 Disember 2013 ~ Isnin (Hari Ketiga) : Lembah Harau – Payakumbuh – Bukittinggi
10 Disember 2013 ~ Selasa (Hari Keempat) : Bukittinggi – Kelok 44
11 Disember 2013 ~ Rabu (Hari Kelima) : Kelok 44 – Danau Maninjau – Lubuk Basong – Pariaman
12 Disember 2013 ~ Khamis (Hari Keenam) : Pariaman – Padang
13 Disember 2013 ~ Jumaat (Hari Ketujuh) : Padang – Solok – Danau Singkarak – Lembah Harau
14 Disember 2013 ~ Sabtu (Hari Kelapan) : Lembah Harau – Kelok 9 – Lembah Harau
15 Disember 2013 ~ Ahad (Hari Kesembilan) : Lembah Harau – Payakumbuh – Dumai
16 Disember 2013 ~ Isnin (Hari Kesepuluh) : Dumai – Terminal Penumpang Pelabuhan Selatan
