Terminal Penumpang Pelabuhan Klang Selatan – Dumai
Urusan pembelian tiket telah dilakukan seminggu lebih awal. Harga tiket untuk perjalanan pergi dan balik alah RM170 + Cukai RM40 + cas terminal RM50 (untuk basikal dan bagasi) + porter RM10. Semua ini adalah jumlah perbelanjaan di sebelah Malaysia untuk seorang. Manakala dari Dumai ke Pelabuhan Klang Selatan pula hanyalah RM10/seorang bayaran untuk porter.
Hanya ada satu perkhidmatan feri ke Dumai iaitu INDOMAL EXPRESS yang dikendalikan oleh Tunas Rupat Follow Me Express Sdn Bhd (lucu pula namanya). Untuk pertanyaan lanjut boleh lah menghubungi wakil penjual mereka iaitu Cik Azura di nombor 016-601 9503 atau 03-3167 7186. Jangan lupa untuk mengambil kontek pengendali mereka di Dumai untuk memudahkan proses mendaftar masuk tanpa menggunakan agen.
Kami telah mendaftar masuk seawal jam 9.00 pagi. Setelah selesai semua urusan imigresen dan kastam, feri hanya belayar pada jam 12.00 tengah hari. Pelayaran mengambil masa selama 4 jam. Kami tiba di Pelabuhan Dumai sekitar jam 3.00 petang waktu Indonesia Barat (Malaysia lewat 1 jam). Proses imigresen dan kastam berjalan agak lancar dan kami telah disambut mesra oleh pegawai-pegawai mereka.

Di Pelabuhan Dumai, porter sedang mengangkut barangan

Sambil menunggu basikal kami habis diturunkan

Peminat kami :)

Selesai memasang semua panniers
Sebaik sahaja basikal dan bagasi kami siap dipasang, kami terus bertanyakan orang tempatan arah ke Jalan Kalakap 7 dimana terletaknya agen pengendali bas OTO PO Yanti ke Bukittingi. Kami perlu cepat kerana kami tidak membuat apa-apa tempahan tiket dan menurut info di internet, jadual perjalanan bas adalah pada jam 7.00 malam waktu tempatan. Setelah berkayuh agak lama, keluar kota Dumai, barulah kami sedari kami telah tersalah arah. Jarak yang sepatutnya hanyalah sekitar 5km telah menjadi 2 kali ganda. Kami hanya sampai di PO Yanti pada jam 5.00 petang. Setelah berurusan dengan saudara Zul (+6285265121060), cas yang dikenakan adalah sebanyak IDR100,000 tiket penumpang + IDR62,500 basikal untuk setiap orang.

Agen hotel dan pengangkutan sewa diletakkan didalam sebuah kawasan berpagar. Mereka hanya boleh melambai-lambai menawarkan perkhidmatan kepada penumpang didalam ruangan ini

Mereka dikawal oleh staff pelabuhan. Imigresen dan kastam mereka juga menggunakan rotan panjang, tapi hakikatnya mereka sangat ramah

Pegawai imigresen ini pada awalnya kami jumpa di pelabuhan. Melihat kami berhenti (saya membeli sim card sebenarnya) dia bimbang kami mengalami masalah, lantas beliau berikan nombor talipon untuk kami hubungi sekiranya perlu

Supergirl!

Keadaan jalan disekitar Dumai

I overtook the beca! hehehe

Banjirlah pulak!

Kanak-kanak sekolah terpaksa menempuh banjir

Staff PO Yanti sedang menampal sticker Bikepackers Malaysia

Happy sebab semuanya ebrjalan dengan lancar. Tiket dah beli! yay!
Sementara menunggu jam 7.00 malam kami mengambil keputusan untuk makan dan berehat di masjid berdekatan. Bas tiba tepat jam 7.00 malam. Perjalanan ke Lubuk Bangku (kira-kira 300km) berhampiran Lembah Harau adalah selama 10 jam. Perjalanan adalah amat memenatkan kerana bas tersebut tidak selesa, tiada aircond dan penumpang mereka rata-ratanya merokok bersambung putung. Keadaan jalan juga adalah amat mendaki dan rosak disesetengah tempat. Berlaku juga jalan sesak dimana bas tidak dapat bergerak lebih kurang setengah jam di kawasan berhampiran Minas, walaupun pada ketika itu sudah jam 12.00 tengah malam! Ini adalah kerana kenderaan berat hanya akan melalui kawasan pendakian ini untuk mengelakkan cuaca panas disiang hari yang boleh mengakibatkan tayar lori mereka meletup. Jalan juga amat sempit, apabila bas berselisih dengan lori, ada kalanya bas terpaksa mengalah turun ke bahu jalan untuk mengelak dari bergesel. Disepanjang perjalanan bas hanya berhenti sekali di Sungai Kandis untuk penumpang makan dan rehat.

Model bas PO Yanti

3 basikal diletak di tempat duduk penumpang paling belakang

2 lagi di compartment bawah
Wak, Abang Syaaban, Pink dan King tidur disepanjang perjalanan. Saya pula tidak dapat memejamkan mata kerana terlalu asyik melihat keluar tingkap. Walaupun gelap, sesekali terlihat juga rumah-rumah dan kedai-kedai ditepi jalan. Dapat saya rasakan pendakian bermula dari Sungai Kandis sehingglah ke Lubuk Bangku. Saya hanya dapat melihat Kelok 9 didalam kegelapan tetapi merasa sangat kagum dengan Jambatan Layang yg baru siap dibuka setelah 10 tahun dalam pembinaan.
Baca selanjutnya dengan mengklik pautan dibawah:-
7 Disember 2013 ~ Sabtu (Hari Pertama): Menaiki feri dari Terminal Penumpang Pelabuhan Klang Selatan ke Dumai. Menaiki bas ke Lubok Bangku
8 Disember 2013 ~ Ahad (Hari Kedua) : Lubok Bangku – Lembah Harau
9 Disember 2013 ~ Isnin (Hari Ketiga) : Lembah Harau – Payakumbuh – Bukittinggi
10 Disember 2013 ~ Selasa (Hari Keempat) : Bukittinggi – Kelok 44
11 Disember 2013 ~ Rabu (Hari Kelima) : Kelok 44 – Danau Maninjau – Lubuk Basong – Pariaman
12 Disember 2013 ~ Khamis (Hari Keenam) : Pariaman – Padang
13 Disember 2013 ~ Jumaat (Hari Ketujuh) : Padang – Solok – Danau Singkarak – Lembah Harau
14 Disember 2013 ~ Sabtu (Hari Kelapan) : Lembah Harau – Kelok 9 – Lembah Harau
15 Disember 2013 ~ Ahad (Hari Kesembilan) : Lembah Harau – Payakumbuh – Dumai
16 Disember 2013 ~ Isnin (Hari Kesepuluh) : Dumai – Terminal Penumpang Pelabuhan Selatan
