Kayuhan kali ini ke negara jiran yang terletak disebelah utara. Atas permintaan Izura, kami membuat keputusan untuk menjelajah Songkhla. Pada mulanya saya rasakan kayuhan tersebut pasti kurang menyeronokkan memandangkan saya dan Wak telah berkali-kali pergi ke Songkhla menaiki motorsikal. Oleh itu saya telah membuat sedikit kajian tentang apa lagi tarikan-tarikan yang ada di Songhkla selain dari Mermaid Statue dan Samila Beach. Selalunya, apa yang saya buat ialah meneliti peta google dengan mengaktifkan mode βphotoβ. selalunya kita akan nampak gambar-gambar yang menarik tidak pernah kita lihat. Dari situ bolehlah kita google lagi secara spesifik tempat-tempat tersebut.
Setelah berhari-hari membelek, saya dapati ada 2 tempat menarik untuk saya explore iaitu, βKao Seng Boulderβ dan juga perkampungan nelayan Muslim yang terletak dia Kao Seng Beach. Kedua-duanya tidak pernah saya dengar dan lihat sebelumnya.
Setelah mengambil kira jarak perjalanan, perancangan adalah seperti berikut:-
Day 1 (13/9) β KL ~ Bukit Kayu Hitam menaiki kenderaan dan tidur dikampung jiran saya (Azie) di Changloon
Day 2 (14/9) β BKH ~ Songkhla
Day 3 (15/9) β Songkhla ~ Hatyai
Day 4 (16/9) β Hatyai β BKH
Kali ini kami pergi berlima dengan menaiki 2 buah kereta. Saya, Wak dan Huda menaiki satu kereta manakala Izura dan adiknya Rahim menaiki satu lagi kereta. 3 buah basikal diletakkan didalam kereta dimana 2 buah lagi dibawa menggunakan rack kereta. Day 1 dihabiskan didalam kereta. Perjalanan mengambil masa selama 5 jam. Keesokan harinya kami bangun seawal jam 4.30 pagi untuk mengelak kesesakan di sempadan.
Day 2 (14/9) β BKH ~ Songkhla
Mengikut google map, perjalanan kami pada hari itu adalah sejuah 84km. Kami tiba di Bukit Kayu Hitam Immigration Checkpoint tepat jam 6.00am. Melalui immigration dengan agak selesa kerana kenderaan masih belum banyak. Kami meletakkan kereta kami di The Zon, kompleks bebas cukai dengan kadar bayaran RM10/sehari. Kami terus berkayuh masuk ke Thailand tanpa sebarang masalah. Sebaik sahaja memasuki Thailand, tempat pertama yang kami tuju ialah gerai untuk bersarapan pagi. Thailand memang mempunyai pilihan makanan yang pelbagai dan amat menarik. Rambang mata kita dibuatnya.

Pelbagai pilihan nasi ayam
Suasana pagi disekitar Sadao

Diseluruh Thailand dan Laos, ini pemandangan biasa dimana βmonkβ menerima βofferingβ dari orang ramai, peniaga terutamanya.

Pengakap

Kempen pemakaian helmet motorsikal 100%. Saya rasa sudah 2 tahun berjalan tapi masih belum dikuat kuasakan. Kami cyclist pun patuh!
Kami singgah disebuah pasar di Khlong Ngae (terleta kira-kira 30km dari sempadan) yang menjual pelbagai barangan terpakai dari baju sehinggalah ke barang permainan kanak-kanak. Pasar ini juga menjual pelbagai jenis makanan tempatan. Kami menghabiskan masa hampir 2 jam disini.

Simpang utama ke pasar Khlong Ngae, disebelah kanan

Saya jatuh disini semasa keluar dari pasar kerana salah perkiraan arus trafik. Di Thailand adalah penting anda berada di sebelah jalan yang betul apabila keluar dari simpang.

Wak terserempak dengan kawan-kawan dari Klang. Mereka ni pemborong pakaian terpakai yang menjual pakaian terpakai eksklusif dan βcollector itemβ
Setelah itu kami meneruskan kayuhan menuju ke Songkhla. Kami akan melalu pinggiran Hatyai. Dengan cuaca yang semakin panas, kayuhan kami bertambah perlahan. Akhirnya kami tiba di Songkhla sekitar jam 4 petang (waktu Malaysia). Sesampainya kami di Songkhla kami terus bertanyakan kepada orang tempatan arah yang tepat untuk ke Kao Seng. Setibanya disana, kami telah mengambil laluan yang salah dan memasuki sebuah pusat penyelidikan iaitu National Coastal Aquaculture Institute dimana terdapatnya 2 jeti ke laut. Dari jeti tersebut, kami boleh nampak βboulderβ tersebut, tapi tidak pasti bagaimana hendak ke sana. Seperti biasanya di Thailand, orangnya memang ramah-ramah dan sentiasa bersedia untuk membantu. Seorang lelaki tempatan yg baru pulang dari mencari kupang telah menunggang motorsikal dan membawa kami ke tempat itu. Agak tersembunyi jalannya, tanpa bantuan tidak mungkin kami temui βboulderβ tersebut.

Seorang penduduk tempatan menaiki motor membawa kami ke βboulderβ. Tak sempat ambil gambar beliau
Terdapat bermacam-macam versi cerita mengenai βboulderβ di Kao Seng ini yang dikenali sebagai Hua Nai Reng. Β Menurut cerita masyarakat Buddha disini, batu itu adalah kepala seorang gergasi yang menjaga harta yang digunakan untuk membina tokong Nakhon Si Thamarat. Akibat perselisihan faham dengan penduduk kampung, Nai Reng telah mengarahkan kepalanya sendiri dipancung dan diletakkan di mulut gua tempat menyimpan harta karun tersebut. Dipercayai nilai harta yang terdapat dibawah batu itu adalah sebanyak 900,000 Baht atau pon 900,000 kg emas! Nai Reng bersumpah, hanya mereka yang mempunyai hati yang bersih sahaja mampu menolak batu itu dan sesiapa yang berjaya, kesemua harta tersebut menjadi miliknya! Namun begitu, sehingga sekarang, tiada siapa yang berjaya. Cerita yang sama juga diberitahu oleh seorang wanita menjaja air kelapa berdekatan dengan kawasan ini.
Setelah puas berada di sini, kami mula mencari perkampungan nelayan Islam Kao Seng. Ianya terletak benar2 dihujung pantai Samila dan agak tersorok dan mudah untuk terlepas pandang. Β Perkampungan kecil itu mempunyai sebuah βbalaiβ atau surau dan kelihatan anak-anak kecil bermain-main di pantai dan penduduk lain melakukan pelbagai aktiviti seperti membaiki jaring dan membersihkan sampan mereka. Sampan-sampan mereka dihiasi dengan ukiran-ukiran yang menarik dan berwarna-warni. Kami juga berkesempatan bertemu 2 orang tua yang fasih berbahasa Melayu. kebanyakan dari penduduk disitu boleh berbahasa Melayu. Menurut Haji Hassan (68 tahun) dan Haji Murad (78 tahun), mereka berasal dari Patani. Mereka mempunyai versi cerita mereka sendiri mengenai batu Hua Nai Reng tersebut. Dari perkampungan ini, kita boleh nampak batu tersebut.
Menurut mereka batu-batu di pantai ini adalah asalnya dari sebuah kapal dagang yang besar datang dari Terengganu. Kapal ini membawa muatan dagang yang banyak ke Sangkura (nama asal Songkhla). Satu hari, kapal ini dilanda ribut dan pecah bertaburan dan menjadi batu. Barang dagangan berupa peralatan memasak dan banyak lagi harta-harta karun lain telah dikumpulkan orang kampung dan diletakkan didalam sebuah gua. Setiap kenduri kendara, orang kampung akan menggunakan peralatan tersebut. Lama kelamaan, orang kampung tidak memulangkan jumlah yang cukup setiap kali meminjam telah menyebabkan penjaga gua itu marah dan menutupnya dengan batu besar tersebut. Beberapa cubaan termasuk 7 buah kapal besar dari Terengganu untuk menarik dan mengalihkan batu tersebut tidak berjaya. Wallahualam!

Kanak-kanak ini suka melihat hasil aksinya didalam kamera saya dan minta saya berulang-ulang kali merakamnya

kanak-kanak sedang membina βjaringβ untuk bermain bola tampar. Bila tumbang, bolos kanak2 tersebut dicelah bilah kayu itu. Lucu!

Wak menghadiahkan tembakau yang dibelinya di Khlong Ngae. Mereka kelihatan sangant gembira dengan pemberian tidak seberapa itu. Banyak yang mereka cerita mengenai perkampungan ini
Malam itu kami menginap disebua penginapan yang terletak didalam perkampungan tersebut iaitu Kao Seng Resort. Penginapan ini amat bersih, besar dan cantik. Harganya amat murah iaitu serendah 350 Baht semalam. Tempatnya sangat stratergik, berhampiran dengan pantai Samila dan juga mudah untuk mendapatkan makanan halal.

Kao Seng Resort
Day 3 (15/9) β Songkhla ~ Hatyai
Hari ke2 kayuhan kami mulakan seawal pagi supaya kami boleh explore Songhkla. Seperti biasa, sarapan pagi di Thailand memang mengagumkan! Perjalanan hari itu hanyalah sejauh 27km, tetapi cuaca yang sangat panas memperlahankan kayuhan kami. Kami juga tidak tergesa-gesa untuk sampai ke HatYai kerana destinasi utama kami ialah Khlong Hea Floating Market yang hanya akan dibuka pada jam 4 petang waktu tempatan. Disebelah pagi kami habiskan masa melawat Samila Beach (Izura, Huda dan Rahim mandi laut berdekatan dgn patung mermaid!) dan juga pasar pagi yang amat besar di Songkhla yang hanya ada pada setiap hari Ahad. Seperti di Khlong Ngae, bermacam-macam barang dijual disini.

The Reader statue melambangkan Songkhla sebagai kota pembelajaran

Masjid Songkhla tersergam indah. Kami berhenti rehat disini sebelum meneruskan kayuhan ke pasar terapung yang jaraknya cuma tinggal kurang 10km lagi

Pasar terapung baru?
Kami tiba di Floating Market Khlong Hae agak lewat petang dan mendapati pengunjung terlalu padat! Rupanya ada kunjungan dari Raja Muda Perlis ke tempat ini. Dalam masa yang sama jambatan baru sedang dibina menambahkan lagi kesesakan. Tempat ini menjadi terlalu βtouristyβ berbanding daripada lawatan kami yang pertama kira-kira 2 tahun yang lepas.
Β
Disebabkan Malaysia bercuti panjang sempena Hari Malaysia yang jatuh pada hari Isnin, semua hotel di Hatyai (town center) telah penuh (dipenuhi rakyat Malaysia yang bercuti!). Ini memaksa kami berkayuh hingga ke hari gelap untuk mencari penginapan di kawasan βdown townβ atas nasihat seorang pemandu tuk-tuk. Berbekalkan alamat yang ditulis didalam tulisan Thailand, kami meredah kegelapan malam mencari tempat tersebut. Dengan bantuan wanita tempatan, kami akhirnya sampai. Biliknya agak selesa berharga 400 Baht semalam.

wanita ini fasih berbahasa Inggeris, menunjukkan arah hotel yang kami cari. Walaupun beliau pekerja sebuah hotel yang lain, dia tidak cuba membuat kami ubah fikiran untuk ke hotel beliau, sebaliknya hanya menulis nama hotel tersebut.

Setelah check-in, kami jalan-jalan cari makanan halal terserempak dengan penjual βbundleβ di kaki lima jalan.
Pada hari-hari sebelumnya, saya telah dihubungi oleh Abang Halim, dari Kedah. Beliau dan rakan telah berbasikal ke Pak Bara dan bercadang untuk bertemu dengan kumpulan kami di Hatyai. Kebutalan pula mereka menginap tak sampai 1km jaraknya dari tempat penginapan kami. Semasa keluar mencari makanan halal, kami telah terserempak dengan beliau. Beliau telah menumpang tidur dirumah kenalan pesikal Thailand. Pesikal tersebut menjual jersi-jersi basikal terpakai dari USA.
Day 4 (16/9) β Hatyai ~ BKH
Hari terakhir, jarak kayuhan adalah kira-kira 60km. Dengan cuaca yang agak panas, kami telah berhenti banyak kali dan hanya tiba di sempadan pada jam 3 petang. Kami telah berkayuh bersama-sama dengan kumpulan Abang Halim iaitu Abang Rusli dan Hafifi. Sambil berkayuh, banyak tips yang kami perolehi dari mereka. Kami kembali ke KL pada hari yang sama dan seperti biasa kesesakan dihi-way mnyebabkan kami hanya tiba dirumah jam 3 pagi. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan tiada masalah timbul disepanjang kayuhan ini. Terima kasih pada Izura, Huda dan Rahim kerana sudi menjadi touring partner kami kali ini!

Suasan sibuk dan jem dipagi hari ditengah-tengah bandar Hatyai

sambil pekena ice blended pelbagai perisa ~ brain freeze!

tiba-tiba plak basikal Wak pancit, lagi 10km nak sampai sempadan
Credit to Izura for some of the photos, taken from her Facebook album.
